Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BELAIT, Ahad, 2 Ogos. - Penghargaan sumbangan signifikan yang dicurahkan oleh empat individu cemerlang dizahirkan semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait yang berlangsung di Padang Bandaran, Jalan Sultan, baru-baru ini.
Peluang berkenaan bukan sahaja menjadi tanda penghargaan atas jasa dan pencapaian mereka, malah mencerminkan keprihatinan serta penghargaan berterusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap rakyat yang telah menyumbang kepada kemajuan negara melalui kepakaran, dedikasi dan khidmat bakti dalam bidang masing-masing.
Empat individu yang diraikan ialah Awang Reduan Yusof bagi Kategori Kesukanan, Dayang Dr. Vanessa Teo bagi Kategori Keusahawanan, Awang Ajis bin Haji Dollah bagi Kategori Kemasyarakatan dan Dayang Dr. Mas Munira binti Haji Rambli bagi Kategori Pendidikan.
Berkongsi perasaan kepada Pelita Brunei, Awang Reduan Yusof menyifatkan peluang untuk santap bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja sebagai satu penghormatan yang amat bermakna serta kenangan yang akan terpahat sepanjang hayat.
Jelasnya lagi, pemilihan berkenaan merupakan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata dan menjadi bukti bahawa usaha yang dilakukan selama ini mendapat penghargaan.
Nama Awang Reduan Yusof tidak asing lagi dalam arena sukan lumba basikal negara. Sejak 1989, beliau telah beberapa kali mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) di pelbagai peringkat kejohanan dalam dan luar negara serta berjaya mengharumkan nama negara menerusi pelbagai pencapaian.
Berbekalkan pengalaman luas dalam sukan berkenaan, beliau kemudiannya menceburi bidang keusahawanan pada 2009 dengan membuka kedai basikal sendiri selain berkhidmat sebagai jurulatih, sekali gus terus menyumbang kepada pembangunan sukan berbasikal di negara ini.
"Kejayaan tidak hadir tanpa keberanian untuk mencuba.
"Belia perlu berani menyahut cabaran dan terus berusaha dalam bidang yang diminati. Dengan kesungguhan, minat itu bukan sahaja mampu menjadi kerjaya, malah boleh membuka peluang pekerjaan kepada orang lain," ujarnya lagi.
Turut menerima penghormatan ialah Dayang Dr. Vanessa Teo, iaitu pengasas Biofield Solutions yang terkenal dengan usaha membangunkan penyelesaian lestari melalui pemprosesan sisa organik menjadi baja berkualiti bagi meningkatkan hasil tanaman padi serta memulihkan kesuburan tanah.
Beliau menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati atas pengiktirafan yang diterima, sambil menyifatkannya sebagai penghormatan yang amat bermakna daripada raja yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya lagi, inspirasi di sebalik penubuhan Biofield Solutions lahir daripada keinginan untuk membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan serta menyokong usaha memperkukuh sekuriti makanan NBD melalui penyelesaian berasaskan inovasi dan teknologi hijau.
Dayang Dr. Vanessa Teo berharap lebih ramai belia tampil menyumbangkan bakat dan kepakaran masing-masing demi kemajuan negara.
"Cabaran sentiasa ada, namun dengan ketabahan, komitmen dan semangat yang tinggi, kita mampu membina sebuah negara yang mampan, berdaya saing dari segi ekonomi dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat," ujarnya lagi.
Sementara itu Awang Ajis pula menyifatkan peluang untuk duduk santap bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai satu penghormatan yang amat membanggakan serta detik yang tidak akan dilupakan.
Beliau yang dikenali aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan pernah menerima pelbagai pengiktirafan keusahawanan menjadikan khidmat kepada masyarakat sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya.
Antara sumbangan besar beliau ialah membantu bekas-bekas banduan mendapatkan peluang pekerjaan bagi membolehkan mereka memulakan kehidupan baharu, berdikari serta menjana pendapatan untuk kelangsungan kehidupan mereka.
Usaha berterusan berkenaan mencerminkan keyakinan beliau bahawa setiap insan berhak diberikan peluang kedua untuk berubah, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera.
Manakala Dayang Dr. Mas Munira turut menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk duduk santap bersama Kebawah DYMM sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait.
Beliau yang merupakan Pengarah Centre for Research on Agrifood Science and Technology (CrAFT) serta Pensyarah Sains dan Teknologi Makanan di Universiti Teknologi Brunei menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap usaha penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat kepada negara.
Menurutnya lagi, penghormatan berkenaan menjadi suntikan semangat untuk terus menyumbang melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Fokus penyelidikan beliau adalah kepada pembangunan teknologi makanan mampan dengan memanfaatkan sumber tempatan dan hasil sampingan pertanian bagi menghasilkan produk makanan bernilai tambah.
Dayang Dr. Mas Munira seterusnya berkata antara inovasi utama yang dibangunkan ialah teknologi makanan kecemasan menggunakan dedak padi dan bahan tempatan lain yang kurang dimanfaatkan untuk menghasilkan makanan berkhasiat, tahan lama serta sesuai digunakan ketika situasi kecemasan.
Inovasi berkenaan tambahnya telah meraih Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 dan kini dilindungi sebagai ‘trade secret’ serta sedang menuju ke arah pengkomersialan.
Beliau berharap hasil penyelidikan tempatan tidak hanya kekal di makmal atau diterbitkan dalam jurnal ilmiah, sebaliknya diterjemahkan kepada teknologi dan produk yang memberi manfaat kepada industri, memperkukuh ekosistem inovasi negara serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
Mengakhiri perkongsiannya, Dayang Dr. Mas Munira menyeru golongan belia supaya berani mencuba, sentiasa dahagakan ilmu dan tidak takut menghadapi kegagalan.
"Setiap pengalaman ialah proses pembelajaran yang membentuk diri menjadi lebih baik. Mulakan dengan apa yang ada hari ini dan gunakan ilmu, kemahiran serta kreativiti untuk menyelesaikan cabaran di sekeliling kita.
"Sumbangan kepada negara tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar. Kadangkala ia lahir daripada satu idea kecil yang berkembang melalui usaha, kesungguhan dan inovasi sehingga memberi impak besar kepada masyarakat.
"Saya berharap lebih ramai belia menjadi pencipta peluang, bukan sekadar pencari peluang, serta memanfaatkan ilmu dan inovasi bagi bersama-sama merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035," ujarnya lagi.
Keempat-empat individu berkenaan membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar diukur melalui pencapaian peribadi, malah melalui manfaat yang dapat dikongsi bersama masyarakat dan negara. Pengiktirafan yang diberikan menjadi lambang penghargaan terhadap warga yang terus menyumbang dengan penuh dedikasi, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha, berinovasi dan berbakti demi kemajuan NBD.