Oleh : Nurhamiza Haji RoslanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa menyampaikan Kenyataan Menteri mengongsikan bahawa Kementerian Pendidikan akan terus memberikan perhatian kepada enam bidang utama berkaitan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) dalam pendidikan.
Perkara ini dikongsikan Yang Berhormat Menteri Pendidikan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Bidang pertama jelas Yang Berhormat, ialah memperkukuh dasar dan tadbir urus AI. Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh tadbir urus AI dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penilaian dan pengurusan pendidikan dengan memberi perhatian kepada integriti akademik, privasi dan keselamatan data, ketelusan, tanggungjawab serta kesesuaian penggunaannya mengikut umur dan keperluan pembelajaran.
Sebagai panduan, Yang Berhormat mengongsikan bahawa Kementerian Pendidikan telah menerbitkan Panduan Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pendidikan pada September 2025, manakala institusi pengajian tinggi Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei turut menyediakan dasar serta garis panduan penggunaan AI generatif bagi warga institusi masing-masing.
Bidang kedua pula, tambah Yang Berhormat, memperkukuh literasi AI dalam kurikulum dan pengalaman pembelajaran. Bidang ini jelas Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan komited untuk memperkukuh literasi AI dan digital dalam sistem pendidikan negara melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi kurikulum, pentaksiran serta kesiapsiagaan pendidik.
Sebagai asas kepada usaha ini, di peringkat rendah, ‘basic coding’ telah diajarkan dalam kurikulum ICT Tahun 5 menggunakan aktiviti MS Logo (Turtle Logo). Selain itu, ‘coding’ juga turut diperkenalkan dalam waktu pendidikan dan kemahiran STEAM (SES) bagi Tahun 2 hingga 5, terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat kemudian mengongsikan beberapa inisiatif lain berkenaan seperti beberapa buah sekolah telah dilengkapi dengan peralatan Microbit bermula tahun 2023 dengan kerjasama Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan di peringkat pengajian tinggi, modul teras mengenai teknologi baharu dan kelestarian (emerging technologies and sustainability) giat diusahakan yang akan menjadi sebahagian daripada kurikulum yang diajarkan di setiap IPT tempatan.
“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh pembelajaran berkaitan AI, data, etika, keselamatan siber, kemampanan dan teknologi baharu agar graduan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan masa hadapan,” tambah Yang Berhormat.
Untuk bidang ketiga iaitu mentransformasikan peranan dan memperkukuh kesiapsiagaan guru, Yang Berhormat menjelaskan pendidik akan terus diperkasa menerusi pembangunan profesional berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka dalam ekosistem AI.
Yang Berhormat mengongsikan di peringkat tempatan, seramai 4,892 guru menyertai kursus AI melalui BDLTA dalam tahun 2025. Sementara itu, 4,281 guru berjaya memperoleh AI In-depth Literacy Certification, dengan enam daripadanya dilantik sebagai Certified Master Trainers.
Pengupayaan ini memastikan pemanfaatan AI secara bijaksana demi pendidikan yang berkesan dan berperikemanusiaan, tanpa mengabaikan peranan hakiki pendidik.
Bidang seterusnya ialah membina keupayaan nasional dalam AI, penyelidikan dan inovasi. Di sini, Yang Berhormat menjelaskan Kementerian Pendidikan akan terus membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan industri.
Antara usaha yang dilaksanakan ialah program Applied AI dan projek Kelulut Sentri AI di UBD, penerokaan AI dalam pendidikan Islam melalui Fakulti Teknologi Islam UNISSA, penyediaan makmal AI dan pensijilan Machine Learning di UTB serta program Analitik Data dan Penyelesaian Digital di Politeknik Brunei. Usaha ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar dan menjamin kelestarian keupayaan AI negara, jelas Yang Berhormat.
Bidang kelima ialah memperkukuh infrastruktur digital dan memastikan akses yang saksama.
Yang Berhormat menjelaskan, Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh infrastruktur digital dan memastikan akses yang saksama kepada semua pelajar dan mengongsikan beberapa perkembangan berkaitan. Di antaranya, melalui Pelan Transformasi Digital 2023–2027, kelajuan internet sekolah telah dan akan dinaik taraf kepada 100Mbps, liputan Wi-Fi diperluaskan dan sebanyak 6,160 komputer riba dibekalkan ke makmal ICT sekolah dan platform seperti MOE TV, Smart Classroom, Learning Management System dan Digital Resources Management System turut disediakan bagi membentuk ekosistem pendidikan digital yang selamat, bersepadu dan mudah diakses, tanpa membiarkan perkembangan AI melebarkan jurang antara pelajar.
Sementara itu, jelas Yang Berhormat, bidang keenam ialah untuk memperkaya penghayatan MIB dan memperkukuh pembentukan karakter. Semakin pintar teknologi yang digunakan, semakin penting kekuatan nilai manusia yang menggunakannya.
“Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh pembentukan karakter dan sahsiah pelajar berteraskan MIB melalui kurikulum, aktiviti kokurikulum dan budaya institusi pendidikan. Sebagai salah satu inisiatif utama Kementerian Pendidikan, Program Sahsiah Pelajar (PSP) sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pembentukan karakter dan sahsiah pelajar secara holistik di sekolah.
“Di peringkat institusi pengajian tinggi, Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan inisiatif untuk menyemak modul teras MIB dan menyelaraskan pendekatan penghayatan MIB di kesemua IPT bagi memastikan penerapannya lebih konsisten, sistematik dan selaras dengan cabaran serta keperluan masa hadapan,” terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan kejayaan usaha ini diukur melalui empat perkara iaitu berdasarkan sejauh mana AI benar-benar meningkatkan pembelajaran pelajar, memperkukuh keupayaan pendidik, menjadikan sistem pendidikan lebih berkesan dan membina bakat dan kepakaran tempatan; serta melahirkan pelajar yang berdikari, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh.
“Lalu, adakah kemajuan mesin akan menjadikan manusia semakin berilmu, bijaksana dan bertanggungjawab? Jawapannya sudah setentunya. Oleh itu, inilah amanah pendidikan, untuk menjadikan pelajar semakin bertanggungjawab.
“Dengan menjunjung titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, berteraskan penghayatan Melayu Islam Beraja serta diperkukuh oleh peranan pendidik, keluarga, masyarakat, institusi pendidikan dan industri, insyaaAllah kita akan dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja bersedia menghadapi masa hadapan, tetapi juga mempunyai keupayaan untuk mencorakkannya,” ujar Yang Berhormat.
Matlamat pendidikan ialah untuk melahirkan manusia yang mampu menggunakan kehebatan ilmu dan teknologi untuk membawa kebaikan kepada orang lain, masyarakat dan negara, jelas Yang Berhormat.