Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 November. - The Brunei Half Marathon 2026 bagi Kategori Larian 5 kilometer (km) dan Larian 10km diteruskan lagi hari ini di Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS).
Larian 5km dilepaskan pada jam 6.25 pagi, menawarkan jarak yang sesuai untuk pelari rekreasi serta mereka yang ingin mengamalkan gaya hidup aktif.
Sementara itu, Larian 10km bermula pada jam 6.45 pagi, menyediakan jarak yang lebih kompetitif bagi peserta yang mencari cabaran larian yang lebih hebat.
Bagi Larian 5km mempunyai had masa satu jam, manakala Larian 10km pula mempunyai had masa dua jam. Acara ini turut merangkumi stesen hidrasi, sokongan di sepanjang laluan, pelari penentu rentak (pacer) rasmi serta sistem catatan masa untuk membantu para peserta sepanjang menempuh jarak larian masing-masing.
Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bersama-sama merasmikan pelepasan Larian 10km dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah Podium Finishers.
Manakala Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos merasmikan pelepasan bagi Larian 5km.
Bagi Kategori 10km Terbuka Lelaki, gelaran juara diraih oleh David Kipkorir Rono, manakala Kategori 10km Terbuka Wanita dimenangi oleh Lilian Jebitok.
Sementara itu, Kategori 10km Lelaki Master dimenangi oleh Mastani Yussop dan Kategori 10km Wanita Master pula diraih oleh Lucy Glennie.
Dalam Kategori 5km Terbuka Lelaki, Kasyful Haji Khairul Arifin muncul sebagai pemenang, manakala Kategori 5km Terbuka Wanita dimenangi oleh Aida Syazwana.
Bagi Kategori 5km Lelaki Master, Sefli Ahar berjaya menyandang gelaran juara dan Kategori 5km Wanita Master pula diraih oleh Airince Liam.
Majlis penyampaian hadiah tersebut bukan sahaja meraikan pencapaian para pelari terbaik, malah turut mengiktiraf dedikasi, disiplin dan kecekalan yang dipamerkan oleh para peserta sepanjang pertandingan berlangsung.