Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan
REPUBLIK SINGAPURA, Ahad, 22 November. - Sambutan penuh bersejarah sempena Jubli Emas Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura telah diakhiri dengan Majlis Makan Malam Penutup yang dihoskan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bertempat di Grand Ballroom 1, Grand Hyatt Hotel, Republik Singapura, baru-baru ini.
Majlis tersebut menjadi lambang penghargaan terhadap hubungan erat dalam tempoh lima dekad, persahabatan, kepercayaan dan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Hadir selaku tetamu kehormat bersama ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing.
Turut hadir, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Republik Singapura (ABRS), Tuan Yang Terutama Laksamana Muda Dato Paduka Seri Aaron Beng serta kepimpinan kanan dan anggota dari kementerian pertahanan dan angkatan tentera kedua-dua buah negara.
Majlis tersebut juga dihadiri oleh mantan-mantan kepimpinan ABRS, termasuk mantan-mantan Ketua Turus Pertahanan ABRS, mantan-mantan Panglima Unit-unit Angkatan Tentera serta mantan-mantan Penasihat Pertahanan Republik Singapura ke NBD.
Kehadiran mereka mencerminkan kesinambungan kepimpinan dan legasi hubungan pertahanan dua hala yang telah terjalin sekian lama, bertepatan dengan tema Jubli Emas iaitu ‘Forged in Trust’.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu kebangsaan kedua-dua negara, diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, bagi memberkati majlis.
Seterusnya, Pemerintah ABDB menyampaikan ucapan alu-aluan dengan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama, kemesraan dan jalinan persahabatan sepanjang sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura.
Sambutan Jubli Emas ini telah dirancang sejak dua tahun yang lalu melalui perbincangan di peringkat Menteri Pertahanan antara Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II dan Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing, di samping perbincangan berterusan antara Pemerintah ABDB dan Ketua Turus Pertahanan ABRS.
Acara sambutan dimulakan dengan Majlis Makan Malam Pembukaan pada 12 Januari 2026 bertempat di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei.
Sambutan tersebut mencapai kemuncaknya pada 10 Oktober 2026 menerusi Upacara Perbarisan Bersama yang melibatkan gabungan anggota ABDB dan ABRS, serta perasmian Galeri Jubli Emas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei, Muara, dengan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kehadiran Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.
Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan Pameran Galeri Jubli Emas di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, yang dibukakan kepada orang ramai selama satu minggu dan telah menerima kunjungan lebih daripada dua ribu pengunjung.
Pameran ini turut menjadi wadah untuk mengetengahkan hubungan erat yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara kepada orang ramai. Selaras dengan tema ‘Forged in Trust’, kedua-dua angkatan tentera kekal komited dalam memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau, di samping terus berlatih bersama melalui eksesais dua hala, berkongsi pengetahuan bagi menangani cabaran baharu serta menuju kecemerlangan bersama menerusi aspek pendidikan dan pembangunan pemimpin masa hadapan.
Majlis diserikan lagi dengan acara memotong kek dan penyampaian cenderahati kepada kedua-dua kepimpinan pertahanan yang melambangkan persahabatan yang berkekalan serta aspirasi bersama kedua-dua negara. Acara tersebut turut disusuli dengan tayangan video khas yang memaparkan detik-detik penting dan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang Sambutan Jubli Emas.
Majlis diteruskan dengan persembahan kolaborasi oleh Pancaragam ABDB dan Pancaragam ABRS yang menampilkan lagu-lagu khas digubah oleh Mejar Mohamad Idrus bin Haji Awang, Pengarah Muzik Pancaragam ABDB iaitu ‘Together in Defence Stronger as One’ and ‘Forged in Trust’ yang melambangkan semangat setia kawan serta hubungan profesional yang kukuh antara kedua-dua angkatan tentera.