Kejohanan Bola Jaring Terbuka Wanita Netball Kitani 2026 tutup tirai

23 Nov 2026 - 6:34am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Alisahrin Haji Mumin

BERAKAS, Ahad, 22 November. - Kejohanan Bola Jaring Terbuka Wanita Netball Kitani 2026 anjuran Persatuan Bola Jaring Brunei (Brunei Netball Association - BNA) menutup tirainya lewat petang tadi dengan selesainya kejohanan akhir yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Pegawai Eksekutif Interim Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Kolonel Norsuriati binti Haji Sharbini.

Juga hadir sama menyaksikan kejohanan tersebut, Chargé d'Affaires a.i., Kedutaan Besar Republik Filipina di Negara Brunei Darussalam (NBD), Bernadette A. Mendoza serta Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Encik Abdul Munir Lutfi Said bersama isteri. Hadir sama ialah Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar binti Haji Suhaili serta Ahli-ahli Jawatankuasa BNA.

Kejohanan yang menghimpunkan sebanyak 16 pasukan itu dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan 'A' dan Kumpulan 'B', dengan masing-masing menampilkan lapan pasukan yang akan bersaing pada peringkat kumpulan sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.

Kumpulan 'A' terdiri daripada Crusher, Netstarz Elite (Sabah), Sourdough, MDV Galaxy, SIKLAB Pilipinas, JIS Orangutans, Tiger Sharks dan JIS Phoenix.

Manakala Kumpulan 'B' terdiri daripada BFB Vipers, TBC Team, NFT, Netseekers, SPSS Netters, Blackhawk, JIS Silverleaf dan Pradian's (Sabah).

Berangkat menyertai kejohanan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman yang menyertai Pasukan Tiger Sharks.

Pada perlawanan peringkat akhir menyaksikan SIKLAB Pilipinas berjaya mengalahkan Pasukan Crusher dengan kutipan mata 12 - 11, sementara Pasukan Blackhawk menduduki tempat ketiga setelah berjaya menewaskan Netseekers dengan mata 15 - 10.

Selain menyaksikan persaingan sengit antara pasukan yang bertanding, kejohanan ini turut mengiktiraf lima orang pemain yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta sumbangan

luar biasa sepanjang berlangsungnya pertandingan.

Anugerah Penjaring Terbaik telah diberikan kepada Dayang Nurhafizah binti Haji Abdul Sidek daripada Pasukan Sourdough, manakala Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik menjadi milik Katrina Mae Agojo daripada Pasukan SIKLAB Pilipinas.

Seterusnya Dayang Siti Nornadzerah binti N. Nordin daripada Pasukan Blackhawk telah dinobatkan sebagai Pemain Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Harapan pula diberikan kepada Dayangku Khalisha binti Pengiran Abdul Rahman daripada Pasukan Crusher.

Sementara itu, Anugerah Pemain Paling Bernilai telah diraih oleh Dayang Khalilah Amani binti Haji Idham Maswadi daripada Pasukan Sourdough atas prestasi dan sumbangan cemerlang yang ditampilkan sepanjang kejohanan.

Penganugerahan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap bakat, kemahiran dan komitmen para pemain, malah diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada semua peserta untuk terus meningkatkan prestasi serta semangat kesukanan pada masa akan datang.

Penganjuran kejohanan berkenaan diharap akan terus menyediakan platform kepada para pemain untuk memperlihatkan keupayaan dan bakat masing-masing, di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan pasukan yang mengambil bahagian sama ada penyertaan dari dalam negeri mahupun penyertaan dari negara jiran dan Asia.

Kejohanan seumpama ini juga merupakan landasan bagi mencungkil bakat dan meningkatkan mutu sukan, khasnya kepada pemain-pemain bola jaring yang sebahagiannya terdiri daripada golongan belia untuk terus aktif dan berpotensi untuk diserapkan masuk ke pasukan kebangsaan negara.

Di samping itu, ia juga bertujuan bagi memajukan sukan bola jaring, khususnya di Negara Brunei Darussalam, di samping memupuk semangat perpaduan sukan, kecergasan, kesihatan fizikal dan mental serta perpaduan sukan dalam kalangan pemain-pemain dan masyarakat umum.