Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 November. - Ilmu merupakan cahaya yang menerangi kehidupan manusia dan mengangkat darjat seseorang di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Namun, menuntut ilmu memerlukan kesungguhan, ketekunan dan kesabaran yang berterusan kerana ilmu tidak akan dapat diraih dengan tubuh yang bersantai-santai.
Dalam perjalanan menuntut ilmu, terdapat tiga bentuk kesabaran yang perlu disemai, iaitu sabar dalam proses memahami dan mengingati apabila berdepan kesukaran memahami atau menghafal pelajaran, sabar terhadap masa dan keletihan kerana ilmu diperoleh secara berperingkat dan memerlukan pengorbanan waktu, tenaga serta keselesaan, dan sabar dalam menghormati guru serta menjaga adab bermajlis kerana keberkatan ilmu sangat berkait rapat dengan adab terhadap guru dan proses pembelajaran.
Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Bersabar di dalam Menuntut Ilmu’ yang disampaikan oleh Pegawai Kesejahteraan Penuntut Negara Brunei Darussalam (NBD) di Republik Arab Mesir, Awang Haji Shahwardy bin Haji Hamdan, bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-256 bersama Pelajar-pelajar dari Kaherah, Republik Arab Mesir, baru-baru ini.
Awang Haji Shahwardy seterusnya berkata kesabaran dalam menghadapi kepayahan menuntut ilmu akan membawa kepada kemanisan kejayaan, manakala ketidakmampuan menahan pahitnya menuntut ilmu akan menyebabkan seseorang terus berada dalam kejahilan.
Oleh itu, tambahnya, kesabaran dan istiqamah dalam menuntut ilmu merupakan kunci untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat serta ganjaran pahala di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah tenaga akademik dan para penuntut Brunei Darussalam dari Republik Arab Mesir serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara.
Juga hadir bagi sama-sama menyerikan lagi program berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan. Turut menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Pengiran Md. Salimin bin Pengiran Md. Daud, yang bersiaran dari Surau Darussalam, Bangunan Kediaman Penuntut NBD di Kaherah, Republik Arab Mesir.
Ini diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Awang Muhammad Hassanul Jamsyir Ali bin Jais, pelajar Tahun 1, Maa'had Qira'at Shoubra, Republik Arab Mesir. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Ataci Pelajaran dan Kebudayaan NBD di Republik Arab Mesir, Awang Md. Adyzham bin Salleh.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Awang Ahmad Huzaifah bin Awang Haji Hasbi, Pelajar Tahun 1, Maa'had Qira'at Shoubra, Republik Arab Mesir.
Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Asmaul Husna beramai-ramai dipimpin oleh Awang Muhamad Faiz Najwan bin Muhamad Saleh, pelajar Tahun 1, Maa'had Qira'at Shoubra, Republik Arab Mesir.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan NBD dibacakan oleh Awang Mohammad Wa'ie Al Matin@ Mohammad Al Matin bin Norzalfri, Pelajar Tahun 1, Kuliah Syariah Wa Qonun, Syukbah Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita rafakkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut : http://tiny.cc/munajatkheu.