Siaran Akhbar dan Foto : Keluarga Interzone
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 November. - Majlis Hari Keluarga Interzone 2026 anjuran bersama Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK) bagi Mukim Gadong 'A' dan Gadong 'B' menjadi penghubung untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk perpaduan serta memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan PMKK dan masyarakat kampung.
Pengerusi Bersama, Penghulu Gadong ‘B’, Awang Haji Rosliani bin Haji Umar berkata program berkenaan dihasratkan sebagai jambatan dan wadah untuk berkumpul beriadah serta menjadi platform untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan serta hubungan kemasyarakatan.
"Semangat kebersamaan, kerjasama dan kegembiraan lebih utama daripada kemenangan dalam setiap aktiviti yang dipertandingkan yang kita anjurkan pagi ini," jelasnya pada majlis yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Senior Superintenden Haji Mahran bin Haji Ahmad.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dari Mukim Gadong ‘A’ dan ‘B’.
Hari Keluarga Interzone berkenaan turut disokong oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Pengawasan Kejiranan Kampung, Pasukan Polis Diraja Brunei, Hitune Group of Companies, Yakin Sports dan Riza Group.
Berbagai acara sukan keriaan telah dipertandingkan dan berjaya menarik minat penyertaan para pengunjung.