Pupuk semangat kesukanan, berpasukan, memperkukuh hubungan persahabatan

23 Nov 2026 - 6:11am

Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Da'wah Islamiah

BERAKAS, Ahad, 22 November. - Pertandingan Tenpin Boling sempena Hari Keluarga anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE DBM) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah diadakan pagi tadi di Golden Bowling Company, Airport Mall, Berakas.

Acara ini merupakan perlawanan persahabatan julung kali yang dianjurkan oleh PKWE DBM bersama Ahli-ahli Persatuan Nurul Islam.

Inisiatif ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua organisasi, di samping memberikan peluang kepada para peserta untuk mencungkil dan mengembangkan bakat dalam sukan tenpin boling.

Pertandingan tersebut disertai seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada Ahli-ahli PKWE DBM dan Persatuan Nurul Islam.

Para peserta dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori lelaki dan kategori perempuan, dengan setiap kategori melibatkan 20 orang peserta.

Selain menjadi medan untuk merebut gelaran juara, pertandingan ini turut berperanan sebagai platform untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga emas serta ahli-ahli persatuan.

Pada masa yang sama, aktiviti seumpama ini dapat memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta memperkukuh hubungan persahabatan dalam kalangan para peserta.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Awang Haji Abu Bakar bin Burut.

Acara kemudiannya diteruskan dengan balingan bola boling sebagai simbolik perasmian pertandingan oleh Pengurus PKWE DBM, Awang Haji Mohd. Yussof bin Mohd. Salleh.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Penganjuran aktiviti seumpama ini diharapkan akan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu usaha berterusan untuk memperkasa penglibatan warga emas dalam aktiviti kemasyarakatan, kesukanan dan riadah, di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara organisasi serta masyarakat setempat.