StrongHER Showdown 2026 : Menggalakkan penyertaan wanita dalam aktiviti kecergasan

14 Sep 2026 - 6:41am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Ahad, 13 September. - Seramai 60 atlet wanita berkumpul di Peak Club hari ini bagi menyertai StrongHER Showdown 2026, iaitu satu-satunya pertandingan kecergasan fungsional khusus untuk wanita di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Kini memasuki edisi kedua, pertandingan berkenaan menyaksikan para atlet berentap menerusi pelbagai senaman berkumpulan berintensiti tinggi yang menguji kekuatan, daya tahan dan semangat berpasukan.

StrongHER Showdown juga dianjurkan bagi meraikan ulang tahun ketiga Ladies Strength & Sweat (LSS), sebuah komuniti kecergasan khusus wanita yang mengendalikan kelas latihan berasaskan kardio dan kekuatan di Peak Club.

Diasaskan pada 2023 oleh jurulatih kecergasan tempatan, Hadirah Latif dan Raifanna Buntar, LSS telah menerima penyertaan lebih 3,000 wanita menerusi kelas-kelas yang dianjurkannya.

Menurut Hadirah, matlamat mereka adalah untuk menggalakkan wanita melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan dan menunjukkan kepada mereka bahawa kecergasan bukanlah sesuatu yang menakutkan, malah boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.

"Memasuki ruang yang secara tradisinya didominasi oleh kaum lelaki boleh menimbulkan rasa gementar. Oleh itu, kami mahu mewujudkan ruang yang membolehkan wanita berasa selesa, mendapat sokongan dan berkeyakinan semasa memulakan perjalanan kecergasan mereka," ujarnya lagi.

Sementara itu, Raifanna pula menyatakan StrongHER Showdown diperkenalkan buat kali pertama pada tahun lepas sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun kedua LSS.

"Pada tahun lepas, kami ingin melakukan sesuatu yang istimewa untuk meraikan ulang tahun kedua kami, dan kami menganjurkan StrongHER Showdown. Dengan sokongan komuniti LSS dan pihak penaja, kami bersyukur kerana dapat menganjurkannya semula pada tahun ini.

"Harapan kami adalah untuk memberikan para wanita, yang kebanyakannya bermula sebagai peserta baharu, bukan sekadar satu pertandingan, malah satu pengalaman yang membolehkan mereka berasa disokong, berseronok dan mencabar diri untuk melangkaui batas kemampuan masing - masing," ujarnya lagi.

Justeru itu, beliau juga berharap mereka pulang dengan perasaan bangga dan mendapat inspirasi, serta lebih yakin dengan kekuatan diri mereka sendiri.

Pada pertandingan berkenaan, General Manager and Head of Legal & Corporate Affairs, Imagine Sdn. Bhd., Adibah Mateen, (penaja platinum) menyampaikan hadiah-hadiah kepada pasukan-pasukan yang berjaya.

Tempat pertama disandang oleh  Quadz Darlings, manakala tempat kedua dimenangi oleh Sore Sisters, sementara Barbella Besties pula menduduki tempat ketiga.

Kemudian, Finance and HR Manager, Peak Performance Sdn. Bhd., Dayang Nurliyana binti Abdul Hamid (penaja platinum) turut menyampaikan beg cenderamata kepada semua pasukan yang mengambil bahagian.

Sehubungan itu, Ladies Strength & Sweat ingin merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada para penaja yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan StrongHER Showdown 2026.