Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 30 Ogos. - Sambutan Jubli Perak sempena 25 Tahun Penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA) dan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Sekolah Rendah YSHHB) diteruskan hari ini dengan penganjuran Karnival Hari Keluarga.
Karnival yang diadakan di sekitar kawasan sekolah tersebut menghimpunkan warga sekolah termasuk para pelajar, ibu bapa, guru-guru, alumni serta para jemputan dalam suasana penuh meriah dan kekeluargaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad juga selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan khas daripada Kumpulan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta persembahan daripada Kelab Karate Sekolah Rendah YSHHB.
Tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan perasmian Karnival Hari Keluarga sebelum menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan karnival berkenaan. Tetamu kehormat kemudiannya dibawa melawat pelbagai aktiviti karnival dan petak-petak jualan yang disediakan.
Karnival Hari Keluarga diadakan sebagai salah satu pengisian Sambutan Jubli Perak TASKA dan Sekolah Rendah YSHHB, di samping menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, pelajar, alumni serta masyarakat.
Penganjuran Karnival Hari Keluarga Jubli Perak ini bukan sahaja menjadi sebahagian daripada acara memperingati 25 tahun perjalanan TASKA dan Sekolah Rendah YSHHB, malah turut mencerminkan penghargaan kepada seluruh warga sekolah, ibu bapa, alumni dan pihak-pihak yang telah memberikan sokongan serta sumbangan kepada perkembangan TASKA dan Sekolah Rendah YSHHB.