MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2027 (CIPTA 2027) pada Khamis, 25 Jun 2026 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Terjemahan dari teks asal dalam bahasa Inggeris oleh : Hajah Apsah Haji Sahdan / Shadan
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen.
Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,
Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat pagi.
MAJLIS pada hari adalah satu penghormatan besar untuk saya sekali lagi merasmikan pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota dan kempen tahun ini membawa tema ‘Bridge. Innovate. Beyond’. Tema ini mencerminkan kepentingan membina jambatan merentasi disiplin, sektor dan sempadan memupuk inovasi untuk menangani keperluan yang muncul dan melangkaui sempadan konvensional untuk mencipta impak yang bermakna kepada masyarakat.
Pujian wajar diberikan kepada Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Brunei LNG atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dan perkongsian yang telah lama terjalin dalam penganjuran pertandingan berprestij ini. Kerjasama berterusan mereka menunjukkan semangat merapatkan kepakaran dan sumber untuk memberi inspirasi kepada inovasi dan kecemerlangan.
Sejak penubuhannya, CIPTA menjadi pentas untuk idea dan perjalanan inovasi. Ia mewakili komitmen untuk membina generasi berdaya tahan yang dilengkapi dengan minda berdaya saing dan asas yang kukuh dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Aspirasi yang terkandung dalam CIPTA adalah bertepatan, sejajar dengan Wawasan Brunei 2035, yang berhasrat menjadikan sebuah negara yang diiktiraf kerana rakyatnya yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta ekonomi yang dinamik dan mampan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menekankan kepentingan pembangunan modal insan yang berkebolehan serta penerapan inovasi bagi memastikan negara kekal kukuh dan makmur dalam dunia yang semakin kompetitif.
Semasa Majlis Konvokesyen UTB Ke-10 pada tahun 2022, UTB menekankan kepentingan menterjemahkan hasil penyelidikan kepada paten dan produk yang dikomersialkan sebagai satu cara untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Baru-baru ini, dalam titah sempena Hari Guru 2025, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengetengahkan tema 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi' menekankan peranan penting pendidik dalam memupuk inovasi dan membimbing generasi akan datang ke arah masa depan yang mampan dan berdaya tahan. Aspirasi ini bertepatan dengan objektif CIPTA, yang bertujuan bukan sahaja untuk memberi inspirasi kepada kreativiti dan inovasi, tetapi juga untuk menggalakkan pembangunan penyelesaian yang berkesan dengan potensi untuk menjana nilai ekonomi dan menyumbang kepada kemajuan mampan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan rantau ini.
Kami menyedari bahawa perjalanan mencipta idea baharu dengan sumber yang ada selalunya merupakan perjalanan yang teliti. Ia adalah usaha keras dengan percubaan tanpa jemu, penambahbaikan sehingga lewat malam dan daya tahan untuk mengatasi halangan. Namun, cabaran inilah yang menjadikan hasilnya sangat bermanfaat. Tidak adalebih besar daripada melihat kumpulan imaginasi yang berkembang menjadi penyelesaian nyata yang boleh memperbaiki kehidupan dan mendorong masyarakat kita maju ke hadapan.
Kita telah melihat kecemerlangan ini pada pemenang sebelum ini, seperti pencipta ‘Novel Filter-Less Single-Source Extendable Switched-Capacitor Boost Multilevel Inverter’, yang memperoleh Anugerah CIPTA 2025 untuk kejayaannya dalam elektronik kuasa. Kita juga mengimbas kembali kepintaran ‘Mamoru : Accident Prevention Motorcycle Helmet’ dari Sekolah Menengah Rimba yang menunjukkan cara belia kita boleh menangani cabaran keselamatan dunia sebenar.
Jadikan contoh ini sebagai inspirasi kepada awda untuk meningkatkan idea awda dan untuk berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Inovasi tidak berlaku secara berasingan. Ia berkembang maju melalui kerjasama dan usaha kolektif kerajaan, ahli akademik, industri dan komuniti. Oleh itu, saya menggalakkan perkongsian yang lebih kukuh dalam kalangan semua pihak berkepentingan, baik di NBD dan di seluruh ASEAN untuk mengukuhkan lagi ekosistem inovasi. Dengan bekerjasama dan memanfaatkan kekuatan kolektif kita, kita boleh memupuk penyelesaian yang bukan sahaja menangani cabaran semasa tetapi juga membentuk masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Marilah kita semua memupuk semangat kerja berpasukan dan kecemerlangan yang dijelmakan dalam Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota.
Saya mendoakan kejayaan CIPTA 2027 dan berharap dapat menyaksikan idea dan inovasi luar biasa yang akan muncul daripada edisi pertandingan ini.
Dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim.
Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan ini merasmikan pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2027 (CIPTA 2027).
Terima Kasih. Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.