Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Sabtu, 28 November. - Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO HOM) Kali Ke-49 telah berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia dari 24 hingga 26 November 2026.
Hadir pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam (NBD), Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Mesyuarat ini diadakan setiap tahun oleh Sekretariat SEAMEO yang menghimpunkan pegawai-pegawai kanan dan perwakilan daripada Kementerian- Kementerian Pendidikan Negara-negara Anggota SEAMEO, wakil-wakil Negara-negara Anggota Bersekutu dan Ahli-ahli Gabungan, Pusat-pusat dan Rangkaian-rangkaian Serantau SEAMEO serta rakan-rakan kerjasama SEAMEO.
Mesyuarat tersebut membawakan tema ‘Memimpin Melalui Pembelajaran : Warisan untuk Era Digital’.
Bersempena NBD memegang Jawatan Presiden Majlis SEAMEO, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan telah mempengerusikan Sesi Tertutup dan secara rasminya menyerahkan kepengerusian SEAMEO HOM Kali Ke-49 kepada Republik Sosialis Viet Nam semasa Sesi Pleno.
NBD turut mengongsikan sumbangan terhadap keutamaan pendidikan serantau, termasuk pelancaran Pelan Pendidikan Hijau (Greening Education Plan, GEP) dan penganjuran Konsortium Pendidikan PISA Asia Tenggara yang julung kali diadakan dari 10 hingga 12 November 2026.
Mesyuarat ini turut mengadakan empat Sesi Khas selari dengan program utama selepas Sesi Tertutup. Antaranya, NBD telah berpeluang untuk membentangkan mengenai Konsortium Pendidikan PISA Asia Tenggara, yang dianjurkannya dari 10 hingga 12 November 2026, bagi berkongsi dapatan utama dan pengajaran daripada konsortium tersebut.
Di samping itu, Forum Pembelajaran SEAMEO 2026 telah diadakan pada 26 November 2026, menyediakan platform untuk dialog serantau dan pertukaran pandangan mengenai masa depan pendidikan. Mesyuarat ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah ESD SEAMEO-Jepun 2026 dan Anugerah Kreativiti dalam Pendidikan SEAMEO SEN-Canva 2026.
Sekolah Menengah Rimba NBD telah meraih tempat ketiga bagi Anugerah ESD SEAMEO-Jepun 2026 menerusi projeknya ‘RimbaScan : From Using AI to Thinking with AI - Student-Built Offline AI for Plant Learning, Human Agency and Sustainable Futures’. Turut mengiringi Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan ke mesyuarat tersebut ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.