Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TEMBURONG, Sabtu, 28 November. - Bersempena Program Ke Temburong Bisai Edisi Brunei International Bike Gathering 2026 x Brunei City Festival Tour 3.0, para pengunjung bukan sahaja berpeluang menyertai aktiviti riadah yang menggalakkan penjagaan kesihatan, malah turut berpeluang menyumbang kepada masyarakat melalui acara Walkaton Amal bagi Mengutip Sumbangan Tabung Bantuan Daerah Temburong.
Walkaton Amal tersebut berlangsung di Kawasan Letak Kereta Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, Daerah Temburong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut. Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Atur cara program dimulakan dengan sesi senaman ringan, diikuti dengan kutipan sumbangan bagi Tabung Bantuan Daerah Temburong sebelum diteruskan dengan acara walkaton sejauh 2.9 kilometer.
Acara Walkaton Amal bagi Mengutip Sumbangan Tabung Bantuan Daerah Temburong yang diadakan bersempena Program Ke Temburong Bisai Edisi Brunei International Bike Gathering 2026 x Brunei City Festival Tour 3.0 ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim Bangar, Majlis Perundingan Mukim Batu Apoi dan Majlis Perundingan Mukim Labu, Daerah Temburong.