Tingkatkan kepekaan, keyakinan golongan wanita dalam membendung ancaman dadah

29 Nov 2026 - 12:21am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BELAIT, Sabtu, 28 November. - Biro Kawalan Narkotik (BKN) mengadakan Forum Wacana bertajuk ‘EmpowerHER : Srikandi Bersama Menangani Gejala Dadah’ bersempena dengan Semarak Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2026 Peringkat Daerah Belait.

Forum bertajuk ‘Peranan Wanita dalam Melindungi Generasi’ telah berlangsung pagi tadi di The Grand Ballroom, V Plaza Hotel, Kuala Belait, di sini.

Forum ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan pemerkasaan golongan wanita khususnya para ibu dan ibu tunggal dalam menghadapi ancaman penyalahgunaan serta pengedaran dadah di samping melindungi institusi keluarga daripada pengaruh gejala tersebut.

Program ini turut merangkumi sesi refleksi kesedaran kendiri yang dikendalikan oleh Kaunselor, Jurulatih Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Serta Pengasas Cureheart Dan Rawat Hati Centre, Dayang Hajah Norajleen Uminatul Hafizan binti Haji Alimas.

Sesi tersebut disertai oleh persatuan-persatuan wanita di Daerah Belait dan bertujuan membantu peserta meningkatkan kesedaran kendiri, mengurus emosi, membuat pertimbangan yang lebih baik serta membina hubungan yang sihat.

Forum tersebut dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam selaku tetamu kehormat. Forum Wacana ini menampilkan ahli panel yang berkongsi pandangan dan kepakaran dari perspektif perundangan, penguatkuasaan, psikologi, sosial dan keagamaan.

Ahli panel terdiri daripada Penolong Pengarah Ketua Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah, BKN, Pengiran Masnah binti Pengiran Haji Damit; Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli; Pemangku Ketua Pegawai Narkotik II Divisyen Rawatan dan Pemulihan, BKN, Dayang Nurul ‘Atiyah Ridzwanah binti Muhammad Alamiza dan Dayang Hajah Norajleen Uminatul Hafizan binti Haji Alimas selaku moderator.

Selain sesi forum, program ini turut menyediakan ruang perkongsian maklumat dan akses kepada pelbagai perkhidmatan sokongan melalui sudut pameran serta kaunter perkhidmatan.

Penyertaan melibatkan BKN, Unit Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Hal Ehwal Syariah, PDI, Komuniti Cureheart dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut disediakan ialah kaunter kaunseling oleh Bahagian Pengawasan, Divisyen Rawatan dan Pemulihan, kaunter bantuan psikososial oleh Kementerian Kesihatan serta kaunter bimbingan agama oleh PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Inisiatif ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan sokongan berkaitan kaunseling, bantuan psikososial, bimbingan agama serta pemulihan bagi membantu individu dan keluarga yang memerlukan.

Melalui penganjuran forum ini, BKN berharap agar program seumpamanya dapat menjadi platform berterusan untuk perkongsian ilmu dan maklumat. BKN juga berharap agar usaha ini dapat meningkatkan kepekaan serta keyakinan golongan wanita untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam membendung ancaman dadah, di samping menjadi sumber kekuatan dan sokongan kepada ahli keluarga serta masyarakat.