Oleh : Khartini HamirFoto : Pg Nur Hafilah Pg. Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 November. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, dengan penglibatan Jabatan Perkembangan Kurikulum serta sokongan Majlis Kebangsaan Celik Kewangan, pagi tadi mengadakan Majlis Peringkat Akhir dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Edisi Literasi Kewangan bagi Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian hadiah bagi pertandingan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.
Pertandingan ini telah melibatkan sebanyak 12 pasukan pada peringkat saringan dengan setiap pasukan terdiri daripada empat orang peserta.
Daripada jumlah tersebut, dua pasukan telah berjaya mara ke peringkat akhir selepas melalui peringkat separuh akhir yang telah berlangsung pada 26 November 2026.
Juara pertandingan disandang oleh Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sementara naib juara ialah Sekolah Menengah Sayyidina Hassan. Manakala pemenang tempat ketiga bersama ialah Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Sekolah Menengah Menglait.
Pembahas terbaik pula diberikan kepada Awang Muhd. Asmu'i Rayyan bin Abdul Muiz dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Pertandingan bertemakan 'Literasi Kewangan' tersebut merupakan sebuah platform bagi menguji keupayaan para pelajar untuk berfikir secara kritis dan teliti, di samping memperkukuh kemahiran mereka berkomunikasi secara strategik dan berkesan.
Para pelajar berpeluang mengemukakan hujah, huraian dan bidasan yang bernas berasaskan pengetahuan yang tepat dan relevan dengan isu semasa. Pertandingan ini turut melatih mereka untuk berfikir dengan jelas ketika menghadapi tekanan serta menyampaikan pandangan secara spontan, teratur dan penuh keyakinan.
Antara matlamat pertandingan adalah untuk melahirkan pembahas yang berilmu pengetahuan dan beridentiti, meningkatkan pengetahuan mengenai literasi kewangan dalam kalangan pelajar serta memperkukuhkan kemahiran komunikasi lisan, khususnya dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul dan sempurna.
Pertandingan ini juga diharap dapat memperkukuhkan semangat kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar, di samping mengembangkan bakat serta menggilap potensi mereka dalam bidang bahas agar lebih berkeyakinan, berdisiplin dan berkesan dalam proses penyelidikan serta penyampaian fakta ketika berhujah.
Di samping itu, pertandingan ini merupakan satu platform yang relevan dalam mengenal pasti dan mencungkil bakat para pelajar untuk diketengahkan sebagai wakil negara bagi menyertai pertandingan bahas bahasa Melayu di peringkat kebangsaan, serantau mahupun antarabangsa.