Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Bagi meraikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, yang sedang dalam rangka lawatan ke Negara Brunei Darussalam (NBD) selama tiga hari bermula dari 11 hingga 13 Oktober 2026, malam tadi telah diadakan Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis diadakan di Restoran Tarindak D'Seni, di ibu negara.
Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad ialah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; serta pengarah-pengarah dan para pegawai kanan KHEU.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Kesyukuran, dan diteruskan dengan jamuan makan malam bersama.
Lawatan berkenaan merupakan kunjungan pertama Tuan Yang Terutama ke NBD selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura.
Lawatan berkenaan bertujuan untuk mempererat serta memperkukuh hubungan dan kerjasama sedia ada antara NBD dengan Republik Singapura termasuk menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pengiktirafan Pensijilan Halal dan Bidang-bidang Kerjasama antara Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).