MoU bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang halal

14 Okt 2026 - 10:54am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

JERUDONG, Selasa, 13 Oktober. - Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Indera Samudra Grand 1 dan 2, The Empire Brunei, Jerudong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Setiausaha MUIB, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

MoU antara MUIB dan MUIS mengenai Pengiktirafan Pensijilan Halal dan Bidang-Bidang Kerjasama tersebut telah ditandatangani oleh Pemangku Setiausaha MUIB, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani dan Ketua Eksekutif, MUIS, Kadir Maideen.

Majlis Penandatanganan MoU turut disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Yang Dipertua MUIB dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad.

Turut hadir dalam Majlis Penandatanganan MoU tersebut, ahli-ahli MUIB; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar serta pegawai-pegawai kanan berkenaan.

Penandatanganan MoU ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang halal seperti pertukaran piawaian peraturan-peraturan teknikal, sistem pengauditan dan spesifikasi yang berkenaan bagi pengeluaran sijil halal dan label halal.

Kerjasama berkenaan turut termasuk pertukaran pengalaman, pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam bidang teknologi, sumber manusia, kemudahan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan bagi produk halal.

MoU ini seterusnya diharapkan dapat meneroka lebih banyak peluang perdagangan produk halal antara kedua-dua negara terutama bagi para pengusaha tempatan, di samping mempererat jalinan hubungan dan kerjasama yang sedia ada.