Pelanjutan tempoh kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza

20 Okt 2026 - 6:35am

Siaran Akhbar : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Oktober. – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, tempoh kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza telah dilanjutkan selama enam bulan lagi iaitu mulai 19 Oktober 2026 sehingga 18 April 2027 untuk orang ramai terus menyalurkan bantuan bagi meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk Palestin yang terjejas di Gaza. Pelanjutan ini termasuklah melalui platform kutipan yang tersedia di bawah tabung ini.

Kutipan melalui SMS Brunei Prihatin yang dikendalikan oleh Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST Sdn. Bhd.), Progresif Sdn. Bhd. dan Imagine Sdn. Bhd.; Penyediaan tabung-tabung derma di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara, bangunan-bangunan awam, gedung-gedung perniagaan serta bank-bank dengan kerjasama Persatuan Bank-bank dan penganjuran aktiviti-aktiviti amal bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Kutipan keseluruhan dana tabung ini setakat 18 Oktober 2026 adalah sebanyak BND8,185,070.19. Sebahagian daripada kutipan dana berjumlah BND1,399,545 telah digunakan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui ‘air-drop’ dalam bentuk paket makanan yang siap sedia untuk dimakan yang telah dilaksanakan pada 13 hingga 15 Mac 2024. Oleh itu, baki tabung setakat 18 Oktober 2026 adalah berjumlah BND6,785,525.19.