A Flight To Remember : Mencipta kenangan di awan biru

24 Og 2026 - 10:02am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland, Ihsan Freme Travel Sdn. Bhd.

 

DALAM kehidupan seharian, pengalaman baharu sering menjadi kenangan yang berharga, khususnya bagi kanak-kanak yang berpeluang merasai sesuatu yang mungkin belum pernah mereka alami sebelum ini. Sebuah penerbangan selama satu jam mungkin kelihatan singkat, namun bagi kanak-kanak yang menyertainya, pengalaman tersebut menjadi satu kenangan istimewa yang sukar dilupakan.

Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-55 penubuhannya, Freme Travel Services Sdn. Bhd. meraikan detik bersejarah tersebut menerusi Program ‘Freme 55th Anniversary : A Flight to Remember’, sebagai salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk merasai pengalaman menaiki pesawat serta menyaksikan keindahan Negara Brunei Darussalam (NBD) dari ruang udara.

Program berkenaan turut memperlihatkan bagaimana sambutan ulang tahun sesebuah organisasi bukan sahaja dapat diraikan sebagai pencapaian korporat, bahkan boleh dikongsi bersama masyarakat melalui inisiatif yang membawa manfaat, kegembiraan dan pengalaman bermakna kepada golongan yang memerlukan.

Berkongsi kegembiraan bersama masyarakat

Freme Travel Services Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada tahun 1971 kini genap 55 tahun berkecimpung dalam industri pelancongan dan pengembaraan di NBD. Sepanjang lebih lima dekad, syarikat berkenaan terus menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan pelancongan, pakej percutian serta pengalaman pengembaraan, di samping menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan negara.

Sempena pencapaian tersebut, syarikat pelancongan berkenaan memilih untuk meraikannya dengan cara yang lebih bermakna melalui pelaksanaan Program ‘A Flight to Remember’. Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk berkongsi kegembiraan ulang tahun bersama masyarakat setempat.

Program tersebut bertujuan memberikan pengalaman baharu, menarik dan bermakna kepada para peserta, selain membuka ruang kepada mereka untuk mencipta kenangan yang dapat dikenang pada masa akan datang.

Pengalaman pertama di ruang udara

Program yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei itu membawa seramai 114 orang kanak-kanak yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), berumur antara tujuh hingga 15 tahun.

Penerbangan khas tersebut dibiayai melalui inisiatif dengan menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan kebangsaan, Royal Brunei Airlines (RB). Matlamatnya adalah untuk memberikan pendedahan yang unik serta peluang kepada para peserta menyaksikan keindahan NBD di ruang udara.

Sebahagian daripada kanak-kanak yang menyertai program berkenaan merupakan anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM. Bagi sebahagian daripada mereka, penerbangan tersebut merupakan pengalaman pertama menaiki pesawat.

Antara peserta yang berpeluang merasai pengalaman berkenaan ialah Awang Sulaiman bin Haji Ahmad, 14 tahun berkata bahawa penerbangan tersebut merupakan pengalaman pertamanya menaiki pesawat. Menurutnya, perkara yang paling menarik perhatiannya sepanjang penerbangan ialah pemandangan yang dapat dilihat dari atas.

Pengalaman yang sama turut dikongsi oleh Dayang Vivi Dania Qisya Syaziewina binti Abdullah, 14 tahun yang juga pertama kali menyertai acara penerbangan seumpamanya. Bagi beliau, suasana ketika berada di ruang udara merupakan antara perkara yang paling menarik sepanjang penerbangan. Beliau menggambarkan pengalaman tersebut dengan tiga perkataan, iaitu ‘siuk’, ‘menarik’ dan ‘terpegun’.

Pengalaman tersebut tentunya bukan sekadar tentang menaiki pesawat. Para peserta turut berpeluang merasai sendiri pelbagai proses perjalanan udara, bermula daripada daftar masuk di lapangan terbang, persediaan sebelum berlepas, menaiki pesawat sehinggalah menikmati pengalaman berada di udara.

Penerbangan khas berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 10.00 pagi dan mendarat semula dengan selamat sekitar jam 11.00 pagi.

Kejayaan pelaksanaan Program ‘A Flight to Remember’ turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat kepada masyarakat. Program berkenaan dianjurkan dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), JAPEM serta RB.

Dalam hal ini, JAPEM menyambut baik usaha Freme Travel Services Sdn. Bhd. bersama RB yang bukan sahaja memberikan pengalaman baharu dan bernilai kepada para peserta malah mencerminkan semangat kerjasama yang kukuh antara sektor awam dengan sektor swasta dalam memperkasakan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat di NBD.

Lebih daripada sebuah penerbangan

Walaupun penerbangan tersebut hanya berlangsung selama kira-kira satu jam, nilai yang terkandung di sebaliknya jauh lebih besar daripada tempoh perjalanan itu sendiri. Bagi para peserta, program berkenaan membuka peluang untuk mengalami sendiri suasana berada di lapangan terbang melalui proses sebelum penerbangan dan seterusnya menikmati pengalaman berada di dalam pesawat.

Lebih penting lagi, pengalaman tersebut dirancang agar menjadi kenangan yang kekal dalam ingatan para peserta untuk tahun-tahun mendatang. Ia juga menjadi satu bentuk pengalaman pembelajaran yang memperkenalkan mereka kepada dunia penerbangan dalam suasana yang menyeronokkan dan penuh makna.

Program seumpama ini turut memperlihatkan bahawa tanggungjawab sosial korporat bukan sekadar berbentuk sumbangan material. Sebaliknya, ia boleh dizahirkan melalui pemberian peluang, pengalaman dan ruang kepada golongan masyarakat untuk menikmati sesuatu yang baharu.

Menyemai nilai keprihatinan

Pelaksanaan Program ‘A Flight to Remember’ turut membawa mesej penting mengenai nilai keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam masyarakat. JAPEM turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Freme Travel Services Sdn. Bhd. serta RB atas keprihatinan, sokongan dan komitmen CSR yang ditunjukkan dalam menjayakan program tersebut. Usaha berkenaan bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada para peserta, malah turut membawa keceriaan kepada kesemua kanak-kanak yang terpilih.

Genap 55 tahun berada dalam industri pelancongan dan pengembaraan merupakan satu pencapaian yang mencerminkan perjalanan panjang Freme Travel dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, di samping menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan negara.

Namun, Ulang Tahun Ke-55 bukan sekadar untuk mengenang sejarah yang telah dilalui. Sebaliknya, ia turut menjadi kesempatan untuk melihat ke hadapan dengan iltizam untuk terus menghubungkan masyarakat melalui perjalanan, pengalaman dan kenangan yang bermakna.

Program ‘A Flight to Remember’ dengan demikian menjadi lebih daripada sekadar sebuah penerbangan khas. Ia merupakan gambaran bahawa sebuah perjalanan yang singkat mampu meninggalkan kesan yang panjang dalam ingatan.

Bagi kanak-kanak yang berpeluang menyertainya, pengalaman terbang di ruang udara NBD mungkin hanya berlangsung satu jam. Namun, keceriaan, keterujaan, pengalaman baharu dan kenangan yang tercipta pada hari tersebut berpotensi untuk kekal dalam ingatan mereka untuk sekian lama.