Rencana dan Foto : Ak. Jefferi Pg. Durahman
MASJID Omar ‘Ali Saifuddien yang berdiri megah di tengah-tengah ibu kota Bandar Seri Begawan (BSB) merupakan simbol keagungan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD). Masjid ini merupakan antara masjid yang terindah di Asia Tenggara, kini berusia 68 tahun dan merupakan masjid yang tertua di negara ini yang dibina dalam tahun 50-an.
Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang dibina di atas tapak seluas dua hektar berdekatan pinggir Sungai Brunei boleh menampung seramai 3,000 jemaah. Masjid yang dibina ini menggabungkan seni bina Islam yang diadun dengan reka seni tempatan.
Reka bentuk kalat digunakan pada tiang-tiang luar masjid. Bahagian dalaman masjid pula dihias dengan pelbagai hiasan. Masjid ini juga mempunyai 34 buah jendela manakala bingkai jendela pula diperbuat daripada tembaga serta dihiasi dengan kaca berwarna-warni yang ditempah khas dari England.
Masjid Omar ‘Ali Saifuddien
Lakaran reka bentuk Masjid Omar ‘Ali Saifuddien mula dilukis dalam tahun 1953. Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ini dibina pada Khamis, 1 Jamadilakhir 1373 bersamaan dengan 4 Februari 1954 dengan titah dan diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Maulana Al-Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Brunei Ke-28 dan pembukaan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ini telah dirasmikan pada Jumaat, 12.25 tengah hari, 13 Rabiulawal 1378 bersamaan dengan 26 September 1958 oleh baginda sendiri.
Masjid ini merupakan sebuah masjid utama yang dibina di NBD dan masjid negara pertama yang boleh memuatkan seramai 3,000 jemaah dan juga merupakan masjid tumpuan utama bagi majlis-majlis sempena hari-hari kebesaran Islam dan negara serta majlis pernikahan diraja. Masjid ini diwartakan pada tahun 2011 di bawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967, semakan 1984; 1991; 2002.
Selain itu, lampu candelier yang terdapat di dalam masjid ini merupakan rekaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Maulana Al-Sultan Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (Al-Marhum) sungguh cantik dan menyerikan lagi suasana dalam masjid. Di setiap masjid terdapat kaligrafi tulisan khat, potongan ayat suci Al-Quran yang begitu halus seni khatnya. Sementara lantai masjid dan dinding masjid pula dihiasi dengan batu marmar yang ditempah khas dari Itali.
Di ruang tengah masjid di sebelah atasnya terbentuk satu kubah setinggi 44 meter yang pada kubah itu terdapat satu surah khas yang membawa maksud :
“Bertasbihlah kamu kepada Allah
Apa yang ada di langit
Dan apa yang ada di bumi
Hanya Allah sahaja
Yang mempunyai semua kerajaan
Dan semua puji-pujian
Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
Di persekitaran perkarangan masjid terdapat sebuah lagun juga sebuah bahtera Diraja abad Ke-16 yang dihubungkan dengan sebuah jambatan.
Bahtera Mahligai
Di tengah-tengah lagun terbina sebuah replika bahtera abad Ke-16 bernama Bahtera Mahligai berukuran 157 kaki panjang dan 31 kaki lebar. Bahtera ini merupakan mercu tanda bagi memperingati peristiwa turunnya Kitab Suci Al-Quran yang ke-1400 dan telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 17 Ramadan 1387 bersamaan 18 Disember 1967.
Reka bentuk Kenaikan Diraja ini menelan belanja kira-kira BND500,000.00. Bahtera ini juga pernah dijadikan Astaka bagi mengadakan beberapa acara keagamaan seperti pertandingan membaca ayat suci Al-Quran yang pernah diadakan hujung tahun 1960-an dan 1970-an. Acara-acara keagamaan yang diadakan di atas Bahtera Mahligai ini juga melambangkan hasrat dan usaha pihak kerajaan dalam mengembangkan syiar agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Selain itu, sebuah kolam pancutan air yang dibina di perkarangan masjid memberikan satu suasana sejuk ke ruang dalam masjid. Manakala tembok yang dibina sepanjang 559 meter yang mengelilingi masjid ini mencipta sebuah lagun yang memberikan gambaran seolah-olah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ini terapung di atas air dan sekali gus memperlihatkan lagi keunikannya.
Sementara itu, Menara Masjid Omar ‘Ali Saifuddien setinggi 44 meter merupakan salah satu ciri masjid yang paling menonjol dan dari Menara inilah azan berkumandang menyeru kaum Muslimin untuk menunaikan kewajipan kepada Allah yang Maha Esa.
Apa yang paling menonjol dan unik serta jadi perhatian kepada pelancong dari negara luar apabila berkunjung ke negara ini dan menyaksikan sendiri keindahan serta keunikan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ini ialah Kubah Emas masjid ini yang diseliputi ratusan mozek emas adalah bahagian yang paling menarik pada masjid ini. Dengan ketinggian 52 meter, Kubah Emas ini mendominasikan panorama BSB.
Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang mempunyai ciri-ciri seni bina India atau Mughal Architure memang mempunyai bentuk yang cukup unik dari segi sukat-sukatnya, ketinggian serta kelebarannya, penggunaan dome atau kubah yang memang diseragamkan dengan bentuk elemen-elemen lain yang terdapat pada masjid ini.
Apa yang menjadi kemegahan dari segi seni binanya ialah keunikannya yang mempunyai monumen teliti atau seni bina sculpture yang membentuk dan memecah ruang di persekitaran bandar, dari segi bentuk-bentuk ukiran yang ada pada bangunan ini memanglah mempunyai jiwa seni yang memaparkan identiti-identiti kebruneian, dan ini sesuai dengan titah Al-Marhum sendiri yang mana mengatakan NBD adalah sebuah negara yang tua yang cukup indah dalam segalanya dan dengan izin Allah, insyaaAllah kemasyhuran dan ketulenan itu akan kita majukan selama-lamanya.
Masjid ini merupakan Rancangan Kemajuan Negara pertama sekali yang diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Maulana Al-Sultan Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (Al-Marhum) dan menelan belanja sebanyak tujuh perpuluhan tujuh juta ringgit Brunei.
Bagi para penduduk di negara ini, masjid ini lebih daripada simbol kegemilangan Syiar Islam. Masjid ini mempunyai banyak keistimewaannya, antaranya pada 31 Disember 1983 telah diadakan Majlis Sembahyang Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran sempena Hari Kemerdekaan NBD yang berlangsung di masjid ini dan juga beberapa Majlis Pernikahan Diraja turut dilangsungkan di masjid ini.
Selain itu, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sa’adul Khairi Waddien juga pernah melaungkan azan di masjid berkenaan. Baginda melaungkan azan pertama kali apabila masjid ini siap pembinaannya, juga semasa Al-Marhum dijunjung oleh Menteri Ugama pada ketika itu untuk melafazkan azan.
Sebagaimana ayahanda baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang telah membaca Khutbah Jumaat di masjid ini pada 22 Februari 1963, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga pernah membaca khutbah pada tahun 1992 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Masjid ini juga masih diiktiraf dunia dan juga Asia Tenggara sebagai sebuah dan antara masjid yang terindah dan menjadi tumpuan para pelancong untuk berkunjung menyaksikan sendiri keunikan dan keindahan simbol keislaman di negara ini.
Selain sebagai tempat beribadah, pelbagai aktiviti keagamaan turut diadakan di masjid ini seperti kelas pelajaran Muqaddam dan Al-Quran, selain aktiviti ceramah agama yang merupakan lambang kegemilangan Islam di NBD.