Mengejar kejayaan untuk mencapai impian

24 Og 2026 - 9:45am

KITA sudah berada pada bulan Ogos dan seperti yang diketahui pada bulan inilah pelbagai acara diadakan seperti majlis konvokesyen Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Pada bulan ini sudah dua buah universiti di negara ini mengadakan majlis konvokesyen masing-masing dengan keramaian para graduan yang semakin meningkat setip tahun dan setentunya majlis serupa akan diikuti lagi oleh beberapa buah lagi IPT di negara ini bagi meraikan para graduan yang telah menamatkan pengajian masing-masing.

Pastinya setiap daripada graduan ini membawa harapan tinggi untuk terus berjaya dengan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan yang mereka peroleh. Tetapi mereka ini bukan sahaja membawa harapan diri sendiri bahkan apa yang lebih berat lagi ialah membawa harapan serta impian setiap ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dengan mendapat pekerjaan yang stabil. Bagi ibu bapa, melihat kejayaan anak adalah sangat berbaloi jika dibandingkan dengan segala sokongan, dukungan, kewangan dan masa yang diberikan untuk anak-anak mereka agar terus berjaya dan menjadi seorang yang berguna dan menyumbangkan bakti untuk ibu bapa, masyarakat dan negara.

Menamatkan pengajian universiti adalah pencapaian besar, menandakan akhir perjalanan akademik dan permulaan bab baharu dalam kehidupan. Apabila awda melangkah keluar dari menara gading dengan ijazah di tangan, persoalan pasti muncul iaitu apa yang akan dilakukan selepas ini?

Bagi kebanyakan graduan, fokus utama adalah memasuki pasaran kerja. Proses peralihan dari akademia ke dunia profesional tidak dinafikan penuh cabaran dan mencabar. Langkah pertama biasanya adalah menjelajahi peluang kerjaya yang berkaitan dengan bidang pengajian. Ini mungkin melibatkan permohonan pekerjaan ataupun latihan industri yang sejajar dengan kemahiran dan minat awda.

Selain daripada pendidikan formal, pembangunan kemahiran secara berterusan adalah penting dalam pasaran kerja yang berubah dengan cepat pada hari ini. Pertimbangkan untuk memperoleh kemahiran baharu, sama ada melalui kursus dalam talian, bengkel atau pembelajaran kendiri. Awda perlu proaktif dalam membentuk kerjaya demi masa depan awda.

Ingatlah bahawa perjalanan selepas tamat pengajian adalah unik bagi setiap individu. Awda perlu menghadapi masa depan dengan minda terbuka, adaptabiliti dan komitmen kepada pertumbuhan berterusan. Landskap selepas dunia universiti luas dan penuh dengan peluang, pilihan yang awda buat hari ini akan membentuk corak kehidupan profesional dan peribadi awda untuk tahun-tahun akan datang.

Walau bagaimanapun, kita tidak mengetahui rezeki yang Allah Subhanahu Wata’ala tetapkan untuk setiap manusia. Justeru bagi yang kurang berjaya dalam pelajaran, jangan berputus asa, mungkin ada kelebihan lain yang dikurniakan kepada kita dengan mencari rezeki lain seperti berniaga sendiri. Bekarih, bejarih, belurih, inilah kata-kata semangat untuk terus memotivasi diri agar terus berjuang, tanpa mengira di mana, bagaimana awda berusaha dan apa yang diusahakan asalkan halal dan tidak menyalahi mana-mana peraturan. - Ketua Penyuntingan (Ri)