Pemikiran positif beri impak kesihatan mental, fizikal

19 Og 2026 - 11:38am

HAKIKAT dalam kehidupan, tiada yang menafikan bahawa berfikir positif dapat membantu mereka menguruskan kehidupan dengan lebih baik. Pun begitu, sekadar percaya bahawa pemikiran sebegitu adalah baik untuk kita adalah sangat jauh daripada mencukupi.

Sebaliknya kita harus tekad untuk belajar dan membudayakan pemikiran positif setiap hari. Ini bermakna, jika mengamalkan sikap sedemikian, sekurang-kurangnya kita dapat bertahan dengan baik walaupun dikelilingi persekitaran yang negatif. Namun, sejauh mana kita boleh bertahan?

Sebetulnya, bukan mudah untuk bertahan dalam persekitaran yang negatif. Ini kerana, persekitaran yang negatif membolehkan banyak perkara di luar jangka boleh berlaku.

Apa yang nyata, kesemua hal tersebut menyebabkan kita menjadi stres, semakin lemah dan kecewa untuk hidup. Namun, jika kita bersungguh-sungguh belajar kaedah berfikir dengan positif secara langsung akan membentuk sikap yang optimis berbanding dengan pesimis.

Pemikiran itu dapat memberi impak yang baik kepada kesihatan mental dan fizikal. Pemikiran itu juga, bukannya menolak sesuatu realiti dan cuba mengambil mudah sesuatu keadaan tetapi menggunakan pendekatan yang betul pada ketika senang dan susah serta sentiasa membina jangkaan bahawa kesemuanya akan berkeadaan baik semula.

Menurut kajian, sekiranya seseorang itu memberikan senyuman (walaupun palsu) ketika menghadapi tekanan adalah lebih baik daripada menunjukkan ekspresi muka yang neutral atau bersahaja. Ini bermakna jika senyuman itu adalah tulen, maka kesannya akan lebih besar lagi.

Dalam masa sama, setiap hari kita harus menulis atau mengingatkan diri sendiri apa perkara baik yang telah kita lakukan supaya dapat merangsang otak dan emosi agar sentiasa tenang dan bersyukur. Malah, kita perlu sentiasa memberi fokus kepada kekuatan diri serta merancang bagaimana menggunakan kekuatan yang ada pada kita untuk terus cemerlang.

Menurut perspektif Islam pula, pemikiran positif adalah berkaitan dengan bersangka baik. Namun jika berprasangka buruk, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda : "Berhati-hatilah terhadap prasangka, kerana sesungguhnya prasangka adalah anggapan yang paling dusta, dan janganlah mendengar aib saudaranya, mengintai-intai, saling benci, saling membelakangi dan saling marah. Jadilah hamba Allah yang bersaudara". (Hadis Riwayat Bukhari).

Selain itu, kita juga harus bersangka baik terhadap Allah walaupun seberat mana ujian sepertimana sabda Rasulullah iaitu : "Bersangka baik kepada Allah adalah berlepas daripada segala hal kecuali Allah Azza wa jalla". (Hadis Riwayat Baihaqi).

Oleh itu, kita tinggalkanlah satu legasi yang baik kepada masyarakat walaupun dengan hanya satu senyuman, justeru, kasihlah diri sendiri dengan membudayakan pemikiran positif setiap hari. - Ketua Penyuntingan (Zk)