London Cake : Manisan ‘viral’ yang mencuri perhatian

22 Og 2026 - 3:03pm

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Ihsan @Sweetbyme

DUNIA kulinari sentiasa berkembang seiring dengan perubahan cita rasa masyarakat dan kemunculan pelbagai trend baharu di media sosial. Sejak kebelakangan ini, London Cake menjadi di antara pencuci mulut yang semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan penggemar manisan.

London Cake tersebut bukan sahaja menarik perhatian melalui hiasan dan reka bentuknya yang menyelerakan malah gabungan coklat dan karamel yang kaya menjadikannya pilihan yang semakin mendapat tempat.

London Cake ialah kek coklat karamel yang menampilkan gabungan chocolate fudge dan caramel fudge yang berkrim. Kek coklat yang lembut dan lembap dipadukan dengan rasa coklat yang kaya serta karamel yang manis dan berkrim, sekali gus menghasilkan cita rasa mewah.

Menurut Dayang Nurul Husna binti Haji Ibrahim, pengusaha kek yang menjual London Cake berkata tarikan utama kek berkenaan terletak pada persembahannya, terutama apabila kek dipotong.

“Pada pandangan saya, London Cake menjadi tular di media sosial kerana persembahannya yang sangat menarik dan menyelerakan. Tarikan utamanya dapat dilihat apabila kek dipotong, di mana setiap lapisan kek, chocolate fudge dan caramel fudge kelihatan jelas dan menarik.

“Visual lapisan demi lapisan inilah yang membuatkan orang tertarik untuk melihat, berkongsi dan akhirnya ingin mencubanya sendiri,” jelasnya.

Trend London Cake semakin meluas apabila gambar dan video mengenainya dikongsikan di pelbagai platform media sosial. Paparan tersebut lazimnya memperlihatkan tekstur kek yang lembut, lapisan karamel serta salutan coklat yang menarik, sekali gus membangkitkan selera dan rasa ingin tahu pengguna.

Menurut Dayang Nurul Husna, sambutan terhadap London Cake mula menunjukkan peningkatan ketara selepas diperkenalkan kepada pelanggan.

“Saya mula menjual London Cake sekitar bulan Julai, namun sambutannya mula meningkat dan menarik perhatian ramai bermula Ogos. Sejak itu, semakin ramai pelanggan mencuba, berkongsi dan memberikan maklum balas yang positif terhadap kek ini,” ujarnya.

Pengaruh media sosial turut menjadi antara faktor utama yang mendorong orang ramai untuk mencuba kek berkenaan. Perkongsian pengguna mengenai sesuatu makanan secara tidak langsung dapat menimbulkan rasa ingin tahu, terutama apabila produk berkenaan sedang menjadi trend.

“Pada pendapat saya, London Cake merupakan antara kek coklat yang tidak terlalu manis, jadi ia lebih mudah dinikmati tanpa rasa cepat muak. Mungkin keseimbangan rasa dan tekstur inilah yang membuatkan pelanggan tertarik untuk menikmatinya lagi,”

 “Trend ini memang sangat mempengaruhi jualan kami. Pada masa ini, permintaan terhadap London Cake sangat tinggi sehingga kami terpaksa mengehadkan pengeluaran beberapa jenis kek lain dan memberikan lebih fokus kepada penghasilan London Cake bagi memenuhi permintaan pelanggan,” jelasnya.

Malah, sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga pengeluaran yang dibuat masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Apabila ditanya mengenai keistimewaan London Cake berbanding kek tular yang lain, Dayang Nurul Husna melihat penggunaan fudge sebagai antara kekuatan utama kek berkenaan.

“Bagi saya, keistimewaan London Cake berbanding kek viral yang lain terletak pada fudge-nya. Walaupun menggunakan karamel, rasanya tidak terlalu manis kerana caramel fudge mempunyai rasa yang lebih seimbang,” katanya.

Perkembangan London Cake membuktikan bahawa media sosial bukan sahaja menjadi wadah untuk berkongsi kandungan, malah berupaya mempengaruhi cita rasa dan corak pembelian masyarakat.

Video pendek yang memaparkan proses memotong kek, lapisan di dalamnya serta teksturnya mampu menarik perhatian pengguna dalam tempoh yang singkat.

London Cake bukan sekadar pencuci mulut untuk dinikmati, malah turut menjadi kandungan yang menarik untuk dikongsikan. Keunikan persembahan, gabungan rasa serta pengaruh media sosial menjadikan kek berkenaan semakin dikenali dan dicari.

Walaupun trend makanan di media sosial lazimnya berubah mengikut masa, London Cake memperlihatkan bahawa sesuatu produk mampu mengekalkan perhatian apabila mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi rasa, tekstur dan persembahan.

End.