10 reka bentuk wang kertas Euro dibuka untuk undian awam

24 Jul 2026 - 9:24am

FRANKFURT, 24 Julai. - Bank Pusat Eropah (ECB) memperkenalkan 10 cadangan reka bentuk bagi siri baharu wang kertas euro dan kini mempelawa orang ramai di seluruh Eropah menyuarakan pandangan menerusi tinjauan dalam talian yang dibuka hingga 21 September, lapor Agensi Akhbar Jerman (DPA).

Majlis Pentadbiran ECB dijangka memilih satu cadangan pada penghujung 2026, namun orang ramai masih perlu menunggu sebelum wang kertas baharu itu mula digunakan.

Presiden ECB Christine Lagarde berkata wang kertas euro bukan sekadar alat pembayaran, sambil menegaskan pentingnya pandangan orang ramai diambil kira kerana wang itu milik mereka.

Beliau berkata demikian pada Khamis ketika memperkenalkan cadangan reka bentuk yang dihasilkan oleh pereka grafik.

Euro merupakan mata wang bersama kira-kira 358 juta penduduk di 21 negara anggota Kesatuan Eropah.

Presiden Bundesbank Joachim Nagel menggesa orang ramai menyertai tinjauan itu dan menggunakan peluang berkenaan untuk berkongsi pandangan serta membantu membentuk masa depan euro.

Beliau berkata semakin ramai yang mengambil bahagian dalam undian itu, semakin baik wang kertas euro baharu dapat mencerminkan kepelbagaian dan nilai Eropah.

ECB pada awal tahun lepas telah menyenarai pendek dua tema bagi motif wang kertas baharu, dengan lima cadangan reka bentuk dikemukakan bagi setiap tema.

Tema 'Budaya Eropah' menampilkan tokoh terkenal Eropah seperti Ludwig van Beethoven, Marie Curie dan Leonardo da Vinci pada bahagian hadapan wang kertas.

Bahagian belakang pula memaparkan antaranya gambaran seniman jalanan dan festival koir.

Tema 'Sungai dan Burung' pula mengetengahkan daya tahan serta kepelbagaian ekosistem semula jadi Eropah, termasuk spesies seperti burung raja udang dan bangau putih.

Bahagian belakang wang kertas bagi tema itu memaparkan institusi Eropah seperti Parlimen Eropah, Suruhanjaya Eropah dan ECB. - ©BERNAMA