2 anggota bomba maut padam kebakaran berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux

22 Jul 2026 - 10:16am

PARIS, 22 Julai. - Dua anggota bomba maut ketika operasi memadam kebakaran berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux di barat daya Republik Perancis, menurut Menteri Dalam Negeri Laurent Nuñez pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Nuñez memberitahu Parlimen bahawa kedua-dua anggota bomba itu maut ketika memadamkan kebakaran di dua bangunan.

Menurut akhbar Sud Ouest, kebakaran tercetus di kawasan bersebelahan tempat letak kereta lapangan terbang berkenaan.

Wilayah Gironde kini diletakkan pada tahap amaran merah, iaitu tahap tertinggi berikutan risiko kebakaran hutan. 

Kebakaran berkenaan turut menjejaskan operasi Lapangan Terbang Bordeaux, dengan penerbangan berlepas dihentikan buat sementara waktu.

Bagaimanapun, pesawat masih dibenarkan mendarat, manakala penerbangan ke Munich yang dijadual berlepas pada sebelah malam dijangka beroperasi seperti biasa.

Sud Ouest melaporkan pasukan bomba tempatan turut dibantu unit pemadam kebakaran lapangan terbang.

Sebuah pesawat pemadam kebakaran juga dikerah bagi membantu mengawal kebakaran.

Kepulan asap tebal yang dapat dilihat dari bandar Bordeaux menjulang ke udara ketika pasukan kecemasan berusaha memadam kebakaran itu. - ©BERNAMA