Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 Oktober. - Dua lelaki tempatan, Hardi bin Juddin, 43 tahun dan Mohammad Noor Hilmi bin Awang Ahmad, 38 tahun, telah disabitkan atas kesalahan berkaitan kecurian dan kerosakan harta benda di Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA), Kampung Lupak Luas. Kedua-duanya telah dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh mahkamah pada 26 Oktober 2026.
Hasil siasatan mendapati bahawa kedua-dua lelaki tersebut telah memasuki kawasan sekolah beberapa kali antara 9 hingga 16 Oktober 2026. Antara barang yang dicuri ialah sebuah komputer riba, dua buah pembesar suara mudah alih, dua unit kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai.
Dalam salah satu kejadian, mereka menggunakan anak kunci yang diambil semasa kejadian terdahulu untuk memasuki sekolah. Pintu bilik pengetua serta pagar keselamatan jendela beberapa buah bilik turut dirosakkan.
Sebahagian barang yang dicuri, termasuk komputer riba berkenaan, telah berjaya diperoleh semula oleh pihak polis.
Kejadian pertama dikesan oleh penjaga malam sekolah, manakala rakaman CCTV turut membantu siasatan. Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan kakitangan SMSUA atas kerjasama yang diberikan dalam menyalurkan maklumat serta membantu siasatan.
Kedua-dua tertuduh telah dihadapkan dengan tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 427 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 36 bulan dan dua sebatan terhadap Hardi bin Juddin, manakala Mohammad Noor Hilmi bin Awang Ahmad dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan dan dua sebatan. Hukuman penjara tersebut diperintahkan berjalan secara serentak, berkuat kuasa mulai 19 Oktober 2026.
PPDB mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui saluran rasmi PPDB.