PHILADELPHIA, 24 Julai. - Ahli Matematik Republik Rakyat China, Deng Yu dan Wang Hong dianugerahkan Pingat Fields pada Perhimpunan Ahli Matematik Antarabangsa 2026 yang dirasmikan di sini pada Khamis.
Kedua-duanya berkongsi anugerah berprestij itu dengan John Pardon dari Amerika Syarikat (AS) dan Jacob Tsimerman dari Kanada.
Ini kali pertama ahli Matematik Republik Rakyat China dinobatkan pemenang Pingat Fields yang disifatkan sebagai 'Anugerah Nobel' dalam bidang Matematik.
Pada majlis perasmian di Pusat Konvensyen Pennsylvania, Kesatuan Matematik Antarabangsa mengumumkan bahawa Deng menerima anugerah itu atas sumbangannya dalam bidang persamaan terbitan separa (partial differential equations atau PDE), manakala Wang diiktiraf atas penyelidikannya dalam analisis harmonik dan teori ukuran geometri.
Deng, yang dilahirkan pada 1989, dan Wang, yang dilahirkan pada 1991, masing-masing pernah mengikuti pengajian di Universiti Peking.
Pingat Fields merupakan anugerah tertinggi dalam bidang Matematik yang diberikan setiap empat tahun kepada dua hingga empat penyelidik berusia bawah 40 tahun sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka serta potensi untuk terus menyumbang kepada perkembangan bidang berkenaan. - ©BERNAMA