REPUBLIK SINGAPURA, 24 Julai. - Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Bank of Thailand menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam keselamatan siber serta membanteras penipuan digital, ketika ancaman siber semakin canggih merentasi sistem kewangan yang saling berhubung di rantau ini, lapor Xinhua.
Perjanjian itu mewujudkan rangka kerja kerjasama yang meliputi tiga bidang utama, iaitu perkongsian maklumat mengenai keselamatan siber dan penipuan digital, pembangunan kompetensi, serta kesiapsiagaan operasi, menurut kenyataan bersama kedua-dua bank pusat pada Jumaat.
Kedua-dua pihak akan bertukar maklumat mengenai perkembangan kawal selia, insiden dan risikan ancaman yang menjejaskan sektor kewangan. Mereka juga akan mengadakan latihan bersama, lawatan pembelajaran, pertukaran penyelidikan, serta melaksanakan latihan keselamatan siber dan pengurusan krisis merentas sempadan.
"Risiko siber dan penipuan digital merupakan ancaman rentas negara utama yang dihadapi rantau kita dan memerlukan kerjasama yang lebih erat bagi menanganinya," kata Pengarah Urusan MAS Chia Der Jiun. - ©BERNAMA