SANTIAGO, 29 Ogos. - Pihak berkuasa perlombongan Chile, Argentina, Bolivia dan Peru menandatangani satu deklarasi bersama pada Jumaat untuk memperkukuh kerjasama serantau berhubung mineral strategik, susulan peningkatan permintaan global berkaitan peralihan tenaga dan teknologi baharu, lapor Xinhua.
Deklarasi tersebut menggesa pelaburan yang bertanggungjawab, rantaian bekalan lebih kukuh serta kerjasama teknikal diperluas bagi memanfaatkan potensi rantau itu dalam sumber mineral seperti tembaga dan litium, yang penting untuk peralatan berteknologi tinggi.
Dokumen itu ditandatangani Menteri Ekonomi dan Perlombongan Chile Daniel Mas, Setiausaha Perlombongan Argentina Luis Lucero, Timbalan Menteri Dasar, Peraturan dan Pemantauan Perlombongan Bolivia Walter Landivar dan Menteri Tenaga dan Perlombongan Peru Guillermo Shinno.
Mas berkata peralihan tenaga dan pembangunan infrastruktur Kecerdasan Buatan boleh meningkatkan permintaan terhadap mineral kritikal sebanyak 400 hingga 600 peratus dalam tempoh sedekad akan datang sekali gus menjadikan bekalan global yang stabil semakin penting.
Perjanjian itu mewujudkan kumpulan kerja untuk berkongsi maklumat geologi, menyelaraskan kriteria pemantauan serta dasar sektor dan membangunkan modal insan berkepakaran.
Keempat-empat negara itu juga bersetuju untuk mendapatkan sokongan teknikal dan kewangan daripada pertubuhan pelbagai hala bagi projek penyelidikan, pembangunan dan inovasi bersama. - ©BERNAMA