Chile isytihar darurat bencana di wilayah utara, hampir 100,000 penduduk terputus hubungan

22 Jul 2026 - 10:19am

BOGOTA, 22 Julai. - Kerajaan Chile pada Selasa mengisytiharkan darurat bencana di wilayah utara negara itu selepas hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan gurun, lapor Anadolu Ajansi (AA). 

Hujan turut menjejaskan ribuan penduduk, manakala hampir 100,000 orang terputus hubungan susulan jalan raya yang terhalang dan air sungai melimpah. Presiden Jose Antonio Kast mengumumkan keputusan itu selepas penilaian kecemasan Kabinet dibuat ketika cuaca buruk yang terus menyebabkan kerosakan meluas.

Darurat bencana itu meliputi seluruh Wilayah Coquimbo dan Wilayah Huasco di Atacama yang bersempadan dengannya, iaitu kawasan yang amat jarang menerima hujan lebat.

“Berikutan keadaan yang semakin buruk, saya telah mengarahkan darurat berperlembagaan diaktifkan bagi menghadapi bencana awam ini. Semua sumber material dan kewangan disediakan untuk menangani kecemasan ini,” kata Kast kepada pemberita.

Langkah itu memberi kuasa lebih luas kepada kerajaan untuk mengerahkan anggota tentera, mengehadkan pergerakan, menyelaras operasi bantuan bencana dan mempercepat penyaluran bantuan kewangan kepada komuniti yang terjejas. 

Laporan Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (Senapred) menunjukkan ribut yang bermula pada 15 Julai itu menyebabkan kerosakan teruk di beberapa wilayah. Sekurang-kurangnya lima kematian disahkan, manakala empat orang dilaporkan hilang dan lebih 99,000 penduduk masih terputus daripada perkhidmatan asas akibat jambatan musnah serta lebuh raya terhalang.

Lebih 2,200 penduduk pula terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing. Lebih 1,100 rumah musnah atau mengalami kerosakan, manakala kira-kira 150,000 penduduk di seluruh negara terputus bekalan elektrik selepas talian kuasa tumbang dan tanah runtuh menjejaskan rangkaian utiliti serta bekalan air minuman.

Pakar meteorologi menyifatkan kejadian cuaca itu sebagai luar biasa. Di Coquimbo, taburan hujan melebihi 200 milimeter di kawasan seperti Cerro Tololo, dengan hujan dalam tempoh sejam menyamai purata hujan bulanan yang lazim diterima kawasan gurun.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Maximo Pavez menyifatkannya sebagai ‘hujan luar biasa dan ekstrem’ yang belum pernah berlaku sejak kebelakangan ini.

Kesan ribut turut dirasai di kawasan pantai apabila ombak besar dan angin melebihi 100 kilometer sejam menyebabkan pihak berkuasa pelabuhan mengehadkan operasi perkapalan dan perikanan di puluhan terminal maritim sebagai langkah berjaga-jaga. - ©BERNAMA