HELSINKI, 29 Ogos. - Finland pada Jumaat meluaskan zon sekatan bagi demam babi Afrika (ASF) di bahagian tenggara negara itu, menurut Pihak Berkuasa Makanan Finland, lapor Xinhua.
Langkah itu diambil selepas penyakit tersebut dikesan pada seekor babi hutan kira-kira 40 kilometer ke barat dari sempadan zon asal.
Bangkai seekor babi hutan dewasa ditemui di sebuah kawasan lapang di Pyhtaa, sebuah perbandaran di pantai tenggara Finland yang terletak di sepanjang Teluk Finland. Penemuan itu menandakan penyebaran yang ketara wabak tersebut ke arah barat.
Sebelum kes di Pyhtaa, kesemua jangkitan yang disahkan dikesan di Virolahti, berhampiran sempadan tenggara Finland dengan Rusia.
Susulan itu, pihak berkuasa memperluas zon jangkitan bagi merangkumi Kotka, Hamina dan Pyhtaa, serta sebahagian kawasan Loviisa, Lapinjarvi dan Kouvola; kesemuanya terletak di selatan atau tenggara Finland.
Kawasan teras yang tertakluk pada peraturan lebih ketat di sekitar Virolahti akan kekal tidak berubah buat masa ini, menurut pihak berkuasa tersebut. Aktiviti memburu dan memberi makan kepada haiwan liar adalah dilarang di kawasan yang dikenakan sekatan berkenaan.
Sekatan juga terpakai terhadap babi ternakan dan babi hutan, serta daging, produk daging dan bahan pembiakan yang diperoleh daripadanya. Sekatan yang lebih meluas terhadap pergerakan di dalam hutan dan kawasan lain, yang kini berkuat kuasa di sebahagian zon jangkitan sedia ada, belum diperluas ke kawasan baharu.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa langkah sekatan lanjut akan dipertimbangkan minggu hadapan. Finland mengesan kes ASF buat kali pertama pada akhir Julai melibatkan babi hutan yang ditemui mati di Virolahti.
Kehadiran virus tersebut telah disahkan pada 36 ekor babi hutan, menurut data terkini Pihak Berkuasa Makanan. Wabak berkenaan turut menjejaskan eksport daging babi Finland. - ©BERNAMA