DR Congo lancar vaksinasi Ebola guna Ervebo atas dasar belas kasihan

28 Og 2026 - 11:08am

KINSHASA, 28 Ogos. - Republik Demokratik Congo (DRC) pada Khamis melancarkan kempen vaksinasi Ebola menggunakan vaksin Ervebo di bawah rangka kerja penggunaan atas dasar belas kasihan di wilayah timur laut Tshopo, ketika negara itu mempergiat usaha membendung wabak virus Ebola Bundibugyo, lapor Xinhua.

Menteri Kesihatan DRC Roger Kamba secara rasmi melancarkan kempen vaksinasi itu di Kisangani, ibu kota Wilayah Tshopo, dengan petugas kesihatan dan pekerja barisan hadapan menjadi antara kumpulan pertama menerima vaksin.

"Kami memutuskan untuk menggunakan vaksin Ervebo bagi melindungi mereka yang berada di barisan hadapan terlebih dahulu iaitu petugas kesihatan kami serta individu yang pernah berhubung dengan pesakit," kata Kamba.

Lebih 50,000 dos Ervebo telah diterima, kata Kamba seperti yang dipetik oleh agensi berita rasmi DRC, ACP.

Kementerian Kesihatan menyatakan di X, pelancaran itu merupakan langkah penting dalam tindak balas terhadap Ebola, sambil menambah bahawa vaksinasi tersebut akan memperkukuh langkah-langkah sedia ada untuk melindungi komuniti, memutuskan rantaian jangkitan dan membendung penularan penyakit itu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) turut mengesahkan dalam sidang media pada Khamis bahawa vaksinasi pencegahan telah bermula di Kisangani.

Placide Mbala Kingebeni, Pengarah Penyelidikan Kajian Klinikal dan Inovasi Africa CDC, memaklumkan dalam sidang media itu bahawa rangka kerja penggunaan atas dasar belas kasihan tersebut dijangka meliputi 14 zon kesihatan terpilih di Tshopo, Bas-Uele, dan Haut-Uele iaitu tiga wilayah yang terjejas akibat wabak itu baru-baru ini.

Data akan dikumpulkan semasa pelaksanaan program itu bagi menilai potensi keberkesanan vaksin terhadap virus yang menyebabkan wabak semasa, katanya.

Ervebo dilesenkan untuk pencegahan penyakit Ebola yang disebabkan oleh virus Ebola Zaire, dan bukannya virus Ebola Bundibugyo yang menjadi punca wabak semasa. 

Ketika ini, tiada vaksin khusus diluluskan yang menyasarkan virus Ebola Bundibugyo.

Kajian makmal menunjukkan Ervebo mungkin memberikan tahap perlindungan silang tertentu terhadap virus Bundibugyo, namun keberkesanannya terhadap manusia belum dapat dipastikan, katanya.

Kerajaan DRC dan rakan kongsinya akan menilai sama ada Ervebo boleh memberikan perlindungan silang terhadap virus Bundibugyo.

Beberapa vaksin lain yang khusus menyasarkan virus tersebut juga sedang dibangunkan, kata Kingebeni.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Africa CDC menyatakan pada Khamis lepas, Kumpulan Penyelarasan Antarabangsa bagi Penyediaan Vaksin telah meluluskan pengagihan awal segera sebanyak 70,000 dos Ervebo susulan permintaan daripada kerajaan DRC.

Daripada jumlah peruntukan itu, 20,000 dos akan digunakan dalam ujian klinikal Fasa Tiga bagi menilai keberkesanan vaksin tersebut terhadap virus Bundibugyo, manakala 50,000 dos lagi dikhaskan untuk petugas barisan hadapan dan kesihatan.

Pelaksanaan pemberian vaksin berkenaan dijalankan ketika wabak Ebola terus merebak di enam wilayah DRC iaitu Ituri, Kivu Utara, Kivu Selatan, Tshopo, Haut-Uele dan Bas-Uele.

Menurut data yang dikeluarkan Khamis oleh pihak berkuasa kesihatan negara itu, DRC telah merekodkan 5,713 kes yang disahkan dan 2,744 kematian setakat Selasa, dengan kadar kematian kes keseluruhan sebanyak 48 peratus. - ©BERNAMA