Hampir sejuta belia Britain tidak terlibat dalam pendidikan, pekerjaan atau latihan

28 Og 2026 - 11:08am

LONDON, 28 Ogos. - Hampir sejuta golongan muda berusia 16 hingga 24 tahun di United Kingdom (UK) tidak terlibat dalam pendidikan, pekerjaan atau latihan (NEET) pada suku kedua 2026, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Xinhua.

Jumlah tersebut mencatatkan angka 981,000 bagi tempoh April hingga Jun atau 13 peratus daripada kumpulan umur berkenaan.

Angka itu menunjukkan penurunan kira-kira 30,000 berbanding suku sebelumnya namun peningkatan sebanyak 30,000 berbanding tahun sebelumnya, menurut Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS).

Elizabeth Gerard, Timbalan Pengarah Learning and Work Institute, berkata angka terkini menunjukkan kadar NEET dalam kalangan golongan muda berusia 16 hingga 24 tahun kekal melebihi paras setahun yang lepas dan masih menunjukkan trend peningkatan jangka panjang.

Lebih separuh beliau yang dikategorikan sebagai NEET tidak aktif dari segi ekonomi, bermakna mereka tidak bekerja atau mengikuti pendidikan, serta tidak mencari pekerjaan secara aktif atau tidak bersedia untuk bekerja, kata Gerard.

Beliau menambah terlalu ramai golongan muda menghadapi kesukaran untuk beralih daripada alam pendidikan kepada pekerjaan yang mampan apabila mereka melangkah ke alam dewasa.

"Syarikat mahu mengambil lebih ramai golongan muda untuk bekerja namun tekanan kos yang meningkat menjadikan usaha itu sangat mencabar," kata Hannah Larsen, pengurus dasar di Dewan Perniagaan British.

Beliau berkata syarikat perlu digalakkan untuk membantu menangani krisis pekerjaan belia sambil mengambil kira tekanan yang dihadapi pihak perniagaan. - ©BERNAMA