Jepun gesa X, empat syarikat lain perkukuh pendedahan langkah tangani kandungan berbahaya

24 Jul 2026 - 9:25am

TOKYO, 24 Julai. - Kementerian Komunikasi Jepun pada Jumaat menggesa lima syarikat termasuk pengendali platform media sosial X dan syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS), Google LLC memperkemas pendedahan mengenai usaha menangani hantaran berniat jahat dan kandungan berbahaya selepas maklumat yang dikemukakan didapati tidak mencukupi.

Menurut Agensi Berita Kyodo, lima pengendali platform media sosial itu didapati melanggar undang-undang dan dikehendaki menyusun semula kerangka pendedahan masing-masing selaras dengan saranan pembetulan kerajaan.

Arahan pembetulan akan dikeluarkan sekiranya syarikat terbabit gagal mematuhi saranan tanpa alasan yang munasabah.

Tiga lagi syarikat yang tertakluk kepada saranan itu ialah Meta Platforms Inc. yang berpangkalan di AS dan mengendalikan Facebook serta Instagram; Shonan Seibu Home Co., pengendali papan buletin tanpa nama bakusai.com; serta Dwango Co., pengendali laman penstriman video niconico.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi mendapati maklumat yang didedahkan oleh lima syarikat berkenaan mengenai langkah penguatkuasaan terhadap kandungan berbahaya bagi tahun fiskal 2025, yang diterbitkan selewat-lewatnya pada akhir Mei tidak mencukupi.

Kementerian meneliti maklumat yang dikemukakan bagi memastikan semua perkara yang diwajibkan di bawah ordinan kementerian telah didedahkan.

"Tindakan sewajarnya perlu diambil susulan saranan itu. Kami akan terus berhubung dengan syarikat terbabit bagi memastikan langkah pembetulan dilaksanakan dengan teratur," kata Menteri Komunikasi Yoshimasa Hayashi pada sidang media.

Akta Platform Pengedaran Maklumat yang berkuat kuasa pada April tahun lepas mewajibkan platform media sosial menangani penyebaran kandungan berbahaya serta mempercepat tindakan terhadap permintaan untuk memadamkan kandungan berkenaan. - ©BERNAMA