Mohd Juwaidi buru pingat individu sulung Sukan Asia

28 Og 2026 - 11:00am

NILAI, 28 Ogos. - Pemanah compound berpengalaman negara Mohd Juwaidi Mazuki menjadikan pingat individu pertama Sukan Asia sebagai sasaran utama apabila membuat penampilan keempat pada temasya Aichi-Nagoya 2026 dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Mohd Juwaidi yang melakukan debut Sukan Asia pada edisi Incheon 2014 sebelum beraksi di Jakarta-Palembang 2018 dan Hangzhou 2022 berkata beliau masih belum pernah meraih pingat dalam acara individu.

“Saya belum ‘sentuh’ pingat individu, jadi saya sasarkan di situ. Untuk acara berpasukan pula, sama ada kita kekalkan pencapaian (pingat gangsa) atau buat lebih baik.

"Kali ini pasukan ada beberapa muka baharu,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) ke ‘venue’ latihan skuad memanah di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai di sini, hari ini.

Menjelang temasya sukan empat tahun sekali itu, Mohd Juwaidi berkata fokus ketika ini memastikan aspek teknik dan peralatan berada pada tahap terbaik sebelum skuad negara menjalani kem latihan di Republik Korea bermula 5 Sept ini.

Atlet berusia 36 tahun itu yang turut meraih gangsa berpasukan lelaki pada edisi 2018 berkata persiapan awal penting supaya tempoh kem latihan dapat digunakan untuk mengekalkan konsistensi teknikal dan bukannya melakukan terlalu banyak perubahan terhadap teknik memanah.

“Kita cuba siapkan apa yang mampu sebelum ke kem latihan supaya di sana kurang kerja pada ‘shooting form’ dan lebih kepada mengekalkan aspek teknikal.

“Bahagian teknikal sangat berpengaruh. Kita mahu pastikan sehari sebelum penerbangan semua sudah bersedia kerana peralatan juga boleh berubah ketika dalam penerbangan disebabkan tekanan kabin,” katanya.

Mohd Juwaidi berkata perkara kecil pada peralatan atau tetapan teknikal boleh memberi kesan terhadap prestasi, termasuk kepada pemanah berpengalaman sepertinya.

Di Jepun, beliau akan bergandingan dengan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki dalam acara berpasukan lelaki manakala dalam saingan berpasukan campuran yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik 2028, beliau akan berpasangan dengan Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

Beliau berkata persaingan merebut tempat ke temasya Olimpik yang hanya diberikan kepada pemenang emas dijangka sengit dengan kehadiran negara kuasa besar memanah seperti Republik India dan Republik Korea. - ©BERNAMA