KATHMANDU/SEOUL, 30 Ogos. - Korea Selatan pada Sabtu menghantar pasukan penyelamat menggunakan dua helikopter sewa khas ke kawasan banjir di Nepal dalam usaha mengesan sembilan rakyatnya yang masih hilang, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Kementerian Luar.
Kementerian itu memaklumkan kedua-dua helikopter, masing-masing membawa empat anggota pasukan tindak balas pantas kerajaan, berlepas dari Kathmandu menuju ke lokasi banjir yang dipercayai menjadi kawasan sembilan mangsa berkenaan berada.
Enam pekerja Doosan Enerbility Co. dan tiga pekerja Korea South-East Power Co. masih hilang setakat Sabtu susulan banjir besar yang melanda kawasan sempadan Himalaya di utara-tengah Nepal.
Mereka sedang bekerja di tapak pembinaan sebuah loji hidroelektrik di daerah Rasuwa ketika banjir melanda kawasan itu pada Rabu. 10 lagi pekerja Doosan yang sebelum ini terkandas di lokasi lain telah dipindahkan ke tempat selamat.
Seoul menawarkan untuk menghantar Pasukan Bantuan Bencana Korea (KDRT), sebuah unit tindak balas kecemasan yang ditubuhkan mengikut undang-undang, dan kini sedang berbincang dengan pihak berkuasa Nepal mengenai perkara itu, menurut kementerian. - ©BERNAMA