Rakyat Algeria hulur bantuan kepada mangsa kebakaran hutan di timur laut

30 Og 2026 - 9:44am

ALGIERS, 30 Ogos. - Masyarakat Algeria berganding bahu membantu keluarga yang terjejas akibat kebakaran hutan di timur laut negara itu, dengan sukarelawan menganjurkan kutipan sumbangan serta konvoi membawa bekalan keperluan asas dari seluruh negara ke kawasan paling terjejas, lapor Xinhua.

Di wilayah Jijel, kebakaran hutan yang berlarutan selama beberapa hari menyebabkan rumah terbakar, kenderaan hangus, hutan musnah dan ternakan mati.

Foto yang dikongsikan penduduk di media sosial menunjukkan kemusnahan meluas di kawasan pergunungan terpencil, sekali gus mencetuskan gelombang sokongan dari luar kawasan terjejas.

Sukarelawan dan persatuan tempatan membuka pusat pengumpulan bagi mengumpul air minuman, makanan, susu formula bayi, lampin bayi, pakaian, selimut serta keperluan lain untuk keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

“Sebaik sahaja saya melihat rayuan bantuan daripada saudara-saudari kami di Jijel, saya terus menyertai kempen itu. 

“Saya membeli air minuman dan susu formula bayi, memuatkannya ke dalam van dan kini dalam perjalanan ke Jijel bersama seorang rakan untuk menghantar sumbangan itu,” kata Farid, seorang peniaga berusia 27 tahun dari Algiers, ketika memuatkan sumbangan di sebuah pusat pengumpulan tempatan pada Sabtu.

Kempen itu turut mendapat sambutan diaspora Algeria, dengan usaha mengumpul dana dianjurkan di luar negara. Sementara itu, pihak berkuasa meneruskan usaha mengawal kebakaran yang masih berlaku serta menilai tahap kerosakan.

Pihak Berkuasa Perlindungan Awam dalam kenyataan terbaharu pada Sabtu memaklumkan sebanyak 123 kebakaran direkodkan antara 28 dan 29 Ogos setakat 7 pagi waktu tempatan (0600 GMT), dengan 118 daripadanya berjaya dipadamkan manakala lima masih aktif.

Menurut kenyataan itu, dua kebakaran yang masih berlaku adalah di Jijel, dua di Setif dan satu di Tebessa.

Di Jijel, pasukan bomba terus memadam lima kebakaran dan kawasan titik panas dengan bantuan dua pesawat pemadam kebakaran AT-802, sebuah helikopter Mi-26 serta pesawat amfibia pemadam kebakaran BE-200.

Perdana Menteri Sifi Ghrieb melawat Jijel pada Jumaat, meninjau kawasan terjejas dengan helikopter serta bertemu penduduk. Ghrieb berkata Presiden Abdelmadjid Tebboune mengarahkan semua sumber perubatan digerakkan bagi merawat mangsa cedera.

Angka kematian rasmi kekal 12 orang seperti diumumkan Menteri Dalam Negeri Said Sayoud pada petang Rabu, dengan tiada angka terkini bagi seluruh negara dikeluarkan sejak itu.

Menurut data Perlindungan Awam, kira-kira 4,000 kebakaran direkodkan dari 1 Mei hingga 20 Julai, meningkat hampir 167 peratus berbanding 1,501 kejadian dalam tempoh sama tahun lepas. - ©BERNAMA