JAKARTA, 30 Ogos. - Republik Indonesia menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya bergerak melangkaui kenyataan kecaman dan mengambil tindakan konkrit serta berterusan bagi menuntut pertanggungjawaban Israel atas tindakannya terhadap rakyat Palestin.
Timbalan Menteri Luar Anis Matta membuat gesaan itu pada Sesi Luar Biasa Ke-23 Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Jeddah, Arab Saudi pada 27 Ogos, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad.
Anis memberi amaran bahawa krisis yang semakin meningkat di Asia Barat kian menguji kewibawaan dan keupayaan OIC untuk kekal berkesan.
“OIC mesti memaksimumkan keupayaan dan mekanismenya untuk menuntut pertanggungjawaban Israel atas pelbagai jenayahnya serta mengkategorikan tindakan keganasan oleh peneroka haram sebagai perbuatan pengganas,” katanya.
Anis, yang mewakili Menteri Luar Sugiono pada mesyuarat itu, berkata impak konflik serantau telah merebak jauh melangkaui Asia Barat, manakala Israel mengambil kesempatan daripada tumpuan OIC yang terpecah untuk meneruskan tindakannya terhadap rakyat Palestin.
Beliau mengetengahkan pelanggaran berterusan Israel terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk perluasan penempatan haram, pengambilalihan tanah Palestin dan pembunuhan rakyat Palestin. - ©BERNAMA