CANBERRA, 28 Ogos. - Kerajaan Australia akan memindah keluar saintis dari sebuah pulau sub-Antartika susulan "risiko psikososial" akibat kemungkinan penularan wabak selesema burung H5N1, lapor Xinhua.
Jabatan Perubahan Iklim, Tenaga, Alam Sekitar dan Air (DCCEEW) memaklumkan pada Jumaat pihaknya akan mengeluarkan kakitangan secara sementara dari stesen penyelidikan Program Antartika Australia di Pulau Macquarie, sebuah wilayah terpencil Australia yang terletak kira-kira 2,000 kilometer di tenggara tanah besar negara itu.
Menurut DCCEEW, strain selesema burung H5N1 yang sangat patogenik itu belum dikesan di pulau berkenaan namun pakar menjangkakan kemungkinan besar berlakunya kematian haiwan secara besar-besaran semasa musim pembiakan akan datang.
Pulau itu, yang disenaraikan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO pada 1997 kerana nilai universalnya yang luar biasa, menjadi habitat kepada 100,000 anjing laut dan jutaan burung laut termasuk lebih 850,000 pasangan pembiak penguin diraja yang endemik pada pelbagai masa sepanjang tahun.
"Ini ialah langkah luar biasa, namun ia tindakan paling wajar berdasarkan penilaian risiko dan realiti operasi kami," kata Timbalan Setiausaha DCCEEW, Sean Sullivan, dalam kenyataan.
"Walaupun risiko selesema burung H5 terhadap manusia dianggap rendah, kami tidak boleh mengabaikan risiko psikososial yang timbul akibat tinggal berhampiran haiwan yang mungkin terjejas dalam jumlah yang besar”.
Jabatan itu memaklumkan kapal penyelidikan dan bekalan utama program tersebut, RSV Nuyina, akan belayar ke pulau itu pada akhir September atau awal Oktober untuk membawa pulang 24 saintis, pekerja teknikal dan kakitangan sokongan serta mengambil kargo penting.
Pelbagai pilihan untuk memantau keadaan di pulau itu sedang dipertimbangkan, dan Sullivan menegaskan bahawa Australia kekal komited untuk mengekalkan keberadaan jangka panjang di Pulau Macquarie. - ©BERNAMA