Sepanyol teruskan usaha padam kebakaran hutan terbesar, hampir 100,000 orang terjejas

27 Jul 2026 - 11:00am

MADRID, 27 Julai. - Kebakaran hutan terus marak di beberapa kawasan di bahagian tengah Sepanyol pada Ahad, dengan kebakaran di wilayah Avila menjadi yang terbesar dalam sejarah negara itu selepas memusnahkan kira-kira 50,000 hektar kawasan, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.

Timbalan Perdana Menteri Ketiga merangkap Menteri Peralihan Ekologi Sepanyol Sara Aagesen berkata kebakaran hutan yang melanda wilayah Madrid serta Avila dan Toledo telah memusnahkan lebih 77,000 hektar kawasan secara keseluruhan.

Wilayah Madrid, Avila dan Toledo merupakan kawasan paling teruk terjejas, dengan hampir 100,000 penduduk dipindahkan atau diarahkan supaya kekal berada di dalam rumah di 46 kawasan perbandaran.

Satu lagi kebakaran hutan yang berlaku  pada hujung minggu di wilayah Castellon di timur negara itu menjejaskan lebih 16,000 penduduk di 18 kawasan perbandaran.

Ribuan anggota bomba dengan bantuan Unit Kecemasan Tentera Sepanyol (UME), pesawat pemadam kebakaran dan helikopter meneruskan usaha memadamkan kebakaran pada Ahad.

Komander UME Leftenan Jeneral Francisco Javier Marcos Izquierdo berkata kebakaran di Avila dan Madrid masih berasingan  kerana kedua-duanya hanya bertemu di kawasan yang  sangat kecil dan tidak bersambung berhampiran San Martin de Valdeiglesias.

Beliau berkata anggota bomba percaya mereka berjaya menghentikan api daripada terus merebak antara kedua-dua kawasan kebakaran itu, walaupun perimeter kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya.

Bercakap dari pusat operasi di Navalcarnero, barat Madrid, Aagesen menyifatkan situasi kebakaran hutan itu sebagai 'rumit', dengan pasukan kecemasan beroperasi di beberapa lokasi.

Beliau memberi amaran bahawa arahan pemindahan lanjut mungkin dikeluarkan jika perlu dan penduduk yang dipindahkan hanya dibenarkan pulang ke rumah selepas keadaan disahkan selamat.

Perdana Menteri Pedro Sanchez melawat kawasan terjejas pada Ahad dan berkata meskipun anggota bomba berdepan cabaran yang 'amat rumit', keadaan secara keseluruhan menunjukkan perkembangan positif dengan sebahagian kebakaran telah berjaya dikawal.

Raja Felipe VI dan Ratu Letizia turut berkenan berangkat melawat kawasan bencana bagi mendapatkan taklimat mengenai usaha tindak balas kecemasan serta menyatakan sokongan kepada penduduk terjejas dan petugas barisan hadapan.

Menurut Kementerian Peralihan Ekologi Sepanyol, kebakaran hutan telah memusnahkan sejumlah 172,453 hektar kawasan di seluruh negara setakat 24 Julai. - ©BERNAMA