Serangan udara sasar Hodeidah, kapal tangki Saudi diserang di Laut Merah

25 Jul 2026 - 6:33am

SANAA, 25 Julai. - Kumpulan Houthi di Yemen pada Jumaat malam mendakwa serangan udara oleh Arab Saudi menyasarkan bandar pelabuhan Hodeidah di Laut Merah dan Pulau Kamaran yang berada di bawah kawalan kumpulan itu, ketika penduduk tempatan melaporkan beberapa letupan kuat.

Stesen televisyen Al-Masirah yang dikendalikan Houthi mendakwa serangan itu menyasarkan kemudahan telekomunikasi di Hodeidah dan Pulau Kamaran, serta menyebabkan seorang wanita cedera.

Media itu kemudian memetik sumber daripada pihak pertahanan Houthi yang mendakwa sistem pertahanan udara kumpulan tersebut berjaya memaksa beberapa pesawat tentera Arab Saudi berundur.

Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Penduduk di Hodeidah memberitahu Xinhua bahawa beberapa letupan menggegarkan pelbagai kawasan di bandar itu.

“Lebih lima letupan kedengaran dari kawasan sekitar Pelabuhan Hodeidah,” kata seorang penduduk sambil menambah asap tebal kelihatan berkepul dari lokasi berkenaan.

Serangan udara yang dilaporkan itu berlaku beberapa jam selepas media Arab Saudi, memetik sumber pihak berkuasa pengangkutan, melaporkan kapal tangki minyak Saudi, NCC MASA, mengalami kerosakan kecil pada badan kapal akibat serangan di Laut Merah, namun meneruskan pelayarannya.

Pada Isnin lalu, kumpulan Houthi mengumumkan larangan terhadap perkapalan Arab Saudi di perairan tersebut. Kumpulan itu pada Khamis mendakwa telah menyasarkan dua kapal tangki minyak Saudi yang didakwa melanggar larangan berkenaan. Agensi Berita Arab Saudi (SPA) kemudian mengesahkan sebuah kapal tangki milik syarikat Arab Saudi telah diserang dan terbakar.

Yemen terus dilanda konflik sejak penghujung 2014 apabila kumpulan Houthi menawan ibu negara, Sanaa, serta sebahagian besar utara Yemen. Keadaan itu mendorong gabungan tentera yang diketuai Arab Saudi campur tangan pada tahun berikutnya bagi menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. - ©XINHUA