BEIJING, 27 Julai. - Republik Rakyat China kekal sebagai antara destinasi yang paling banyak dikunjungi pengembara asing sempena cuti sekolah musim panas.
Data terkini menunjukkan negara Eropah merupakan antara 20 sumber utama pelancong asing ke Republik Rakyat China, menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan ketibaan antarabangsa pada cuti sekolah musim panas tahun ini.
Tempahan pakej oleh pengembara Eropah mencatat lonjakan sebanyak 275 peratus, manakala tempahan tiket masuk ke pelbagai kawasan peranginan di Republik Rakyat China meningkat lebih 20 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pengembara asing yang ingin merasai keunikan budaya negara Tembok Besar itu, antaranya termasuk aktiviti 'China Travel With Chinese Films' yang mengetengahkan lokasi penggambaran filem sebagai destinasi pelancongan.
Perkhidmatan pelancongan yang cekap serta dasar berkaitan perjalanan masuk ke Republik Rakyat China yang terus dioptimumkan turut menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelawat asing.
Pada masa sama, dasar 'rebat cukai semasa belanja' dan kemudahan pembayaran mesra pelawat asing yang diperkenalkan kerajaan Republik Rakyat China menambah baik pengalaman membeli-belah, sekali gus merangsang perbelanjaan pengembara asing. - ©BERNAMA