BUENOS AIRES, 25 Julai. - Venezuela pada Jumaat memaklumkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keputusannya untuk menarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Menteri Luar Felix Plasencia berkata Venezuela telah menyampaikan kepada PBB keputusan muktamad untuk keluar daripada ICC atas arahan Pemangku Presiden Delcy Rodriguez.
“Venezuela berpandangan bahawa tindakan mahkamah itu mencerminkan kecenderungan geografi yang jelas, apabila sebahagian besar tumpuannya diberikan kepada negara-negara Afrika dan Amerika Latin sehingga menjejaskan kepentingan Selatan global.
“Corak ini memperlihatkan sistem keadilan antarabangsa yang bukannya dilaksanakan secara adil, sebaliknya dijadikan alat untuk memperdalam ketidaksamaan antara rakyat serta mengetepikan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan mempertahankan kedaulatan,” tulisnya menerusi X.
Keputusan itu dibuat ketika ICC sedang menyiasat pentadbiran Nicolás Maduro berhubung dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.
Kerajaan di Caracas menolak tuduhan berkenaan. -©BERNAMA