Venice kutip lebih €5 juta daripada bayaran masuk pelancong

27 Jul 2026 - 10:58am

VENICE, 27 Julai. - Pihak berkuasa Venice mengutip lebih €5 juta (USD5.7 juta) musim ini menerusi bayaran masuk yang dikenakan terhadap pelancong harian ke destinasi popular Itali itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (DPA).

Bayaran antara €5 (USD5.7) hingga €10 (USD11.4) itu dikenakan pada 60 hari terpilih ketika jumlah kunjungan memuncak sepanjang musim utama pelancongan dari April hingga Julai.

Lebih 650,000 pengunjung telah membayar bayaran itu pada musim ini.

Bagi baki tahun ini, pelancong harian boleh memasuki bandar itu secara percuma.

Datuk Bandar Simone Venturini mencadangkan supaya bayaran masuk itu dinaikkan tahun depan kepada antara €30 (USD34.1) hingga €50 (USD56.9) pada hari yang dijangka menerima jumlah pelancong yang sangat ramai.

Bagaimanapun, datuk bandar tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan bayaran masuk berkenaan.

Walaupun bayaran itu diperkenalkan menerusi undang-undang kecil perbandaran, had maksimumnya ditetapkan di bawah undang-undang negara.

Sehubungan itu, Venturini perlu berunding dengan kerajaan di Rom.

Bayaran berkenaan bertujuan membantu menguruskan pelancongan secara besar-besaran dengan lebih baik di bandar yang mempunyai banyak tarikan unik itu.

Ketika ini, hampir 50,000 orang masih menetap di pusat bersejarah Venice, jumlah yang lebih rendah berbanding bilangan katil hotel di bandar itu.

Tetamu hotel yang menginap lebih lama di bandar itu dikecualikan daripada bayaran harian berkenaan, namun mereka perlu membayar cukai penginapan. - ©BERNAMA