KYIV/WARSAW, 24 Ogos. - Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menandatangani undang-undang bagi menubuhkan tugu peringatan wira negara meskipun menerima kritikan daripada Poland, menurut pengumuman Parlimen Ukraine, lapor dpa memetik agensi berita Ukrinform.
Pantheon atau kompleks peringatan itu ditujukan bagi memperingati anggota Tentera Pemberontak Ukraine (UPA), pejuang nasionalis yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai warga Poland dan Yahudi, terutama di Volyn yang kini terletak di barat Ukraine, ketika pendudukan Republik Persekutuan Jerman dalam Perang Dunia Kedua sehingga mengorbankan puluhan ribu orang.
“Pantheon Ukraine pasti akan dibina dan hanya rakyat Ukraine akan menentukan siapa yang dianggap wira bagi kami,” tegas Zelenskyy pada Sabtu di hadapan veteran perang.
Mengikut undang-undang itu, tugu peringatan berkenaan akan dibina di ibu negara Kyiv dan memberi penghormatan kepada tokoh sejarah sejak era Empayar Kyivan Rus pada Zaman Pertengahan.
Tokoh yang mencetuskan kontroversi di peringkat antarabangsa tetapi dianggap Ukraine moden sebagai pejuang kemerdekaan dijangka dikebumikan semula di situ.
Pantheon itu juga dirancang menjadi tempat pengebumian presiden Ukraine.
Kerajaan Poland di Warsaw pada mulanya tidak memberikan sebarang ulasan. Bagaimanapun, pelaksanaan rancangan itu boleh menjejaskan lagi hubungan dengan Poland, sekutu penting Ukraine di Barat dalam perjuangannya menentang Persekutuan Rusia.
Keretakan hubungan antara kedua-dua negara sudah mula tercetus pada Jun selepas Zelenskyy menganugerahkan gelaran kehormat “Heroes of the UPA” kepada sebuah unit tentera.
Warsaw kemudian menarik balik Darjah White Eagle yang pernah dianugerahkan kepada Zelenskyy.
Beberapa ahli politik Ukraine dan Poland turut memulangkan anugerah yang mereka terima daripada negara jiran masing-masing. - ©BERNAMA