Amalan berdoa

2 Sep 2026 - 12:00pm

DOA merupakan salah satu ibadah yang sangat digalakkan dalam Islam dan sebagai umat Islam kita diajarkan untuk sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala baik dalam keadaan senang mahupun susah. Doa bukan hanya sekadar permohonan tetapi juga merupakan bentuk penghambaan (ubudiyyah), rasa syukur, dan pengakuan  pengharapan hamba  atas kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Allah Subhanahu Wata'’ala berfirman dalam Surah Ghafir, ayat 60 yang mafhumnya :

''Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada beribadat kepada-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina''.

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala menyeru sekalian manusia untuk membiasakan diri supaya sentiasa berdoa untuk memohon kebaikan dan menolak keburukan dalam meniti kehidupan yang penuh ranjau ini. Sebagai seorang hamba yang beriman seseorang itu hendaklah sentiasa mendekatkan diri dan berhubung terus dengan Allah Subhanahu Wata'ala, sama ada dalam memohon  segala  keperluan, mengadu segala   permasalahan, mahupun sebagai bentuk penghambaan diri. Sesungguhnya doa yang dipohonkan kepada-Nya semata-mata dengan tujuan untuk mengharapkan reda dan kesejahteraan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Seorang Muslim dianjurkan untuk berdoa dalam setiap keadaan, baik saat senang mahupun susah, waktu  sihat  mahupun  sakit, dan waktu  lapang mahupun sempit.

Manakala orang-orang yang meninggalkan doa dianggap orang-orang yang sombong dan Allah Subhanahu Wata'ala murka kepada sesiapa yang tidak berdoa dan akan menerima balasan yang berat.  Daripada Abu Hurairah dia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

''Sesungguhnya sesiapa yang tidak memohon (meminta) kepada Allah, Dia (Allah) murka kepadanya''.

(Hadis Hasan riwayat Imam At-Tirmidzi)

Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengkhabarkan bahawa doa sebagai bentuk ibadah, bahkan inti ibadah itu sendiri. Daripada An-Nu'man bin Basyir,  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :

''Doa itu adalah ibadah''.

(Hadis sahih riwayat Imam At-Tirmidzi)

Banyak ibadah memerlukan gerakan fizikal seperti sembahyang dan menunaikan haji atau menahan diri seperti puasa. Namun doa adalah ibadah lisan dan hati yang menjadi roh dari semua ibadah tersebut. Daripada Anas bin Malik, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

''Doa itu adalah otak segala ibadat''.

(Hadis gharib riwayat Imam At-Tirmidzi)

Mengapa disebut otak? Kerana dalam doa, seorang hamba menanggalkan egonya, mengakui ketidakberdayaannya, dan menyerahkan segala urusan hanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Inilah puncak penghayatan kepada Allah, doa adalah senjata terkuat bagi seorang Muslim. Seorang hamba yang membiasakan diri dengan berdoa akan beroleh keberuntungan kerana ia sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah. Dengan doa, nikmat diturunkan dan bala pula dapat ditolak. Betapa besar keperluan kita sebagai hamba kepada doa pada bila-bila masa dan di mana juga kita berada dalam keadaan apa pun. Berdoa tidak hanya terbatas dalam hal-hal duniawi malah juga mencakupi aspek kehidupan akhirat.

Doa bukan hanya permintaan tetapi juga bentuk tawakal dan pengakuan kelemahan seorang hamba di hadapan Tuhannya. Setiap doa yang dipanjatkan adalah bentuk komunikasi antara hamba dan Allah Subhanahu Wata'ala. Dengan berdoa hati menjadi lapang, tenang, dan kesedihan berganti harapan serta urusan dimudahkan. Dalam Islam, diyakini bahawa doa memiliki kemampuan untuk mengubah takdir. Meskipun Allah telah menetapkan segala sesuatu, doa adalah bahagian dari takdir itu sendiri dan merupakan sarana yang diberikan Allah kepada hamba-Nya untuk memohon perubahan atau keringanan dari ketetapan-Nya. Betapa besarnya kelebihan berdoa untuk kita amalkan dan biasakan dalam mengharungi kehidupan.

Doa merupakan senjata dan kekuatan bagi orang yang beriman dalam mencapai semua tujuan. Selain itu doa juga dapat menghindarkan semua bahaya bahkan menghilangkannya. Dalam menghadapi badai kehidupan, keraguan, dan gangguan musuh (termasuk syaitan), doa menjadi perisai sekali gus senjata yang ampuh bagi melawan musibah, kesulitan dan rasa takut. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam daripada Ali Radhiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :

''Doa adalah senjata orang Mukmin, tiang agama, dan cahaya langit-langit dan bumi''.

(Hadis sahih riwayat Imam Al-Hakim)

Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan berdoa itu selain sebagai senjata bagi orang yang beriman ia juga sebagai tiang agama dan cahaya yang menerangi langit dan bumi.

Marilah kita sentiasa memperbanyakkan doa agar hati ini tetap teguh di jalan kebenaran serta diberi ketenangan dalam menghadapi setiap dugaan yang datang. Berdoalah dengan sepenuh hati  dan teruslah berharap, meskipun jawapannya belum terlihat. Yakinlah bahawa setiap doa adalah bisikan tulus seorang hamba kepada Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala keresahan dan pengharapan.