3 pelajar NBD terima Anugerah APTJSO-11

19 Jul 2026 - 5:55am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

REPUBLIK FILIPINA, Sabtu, 18 Julai. - Tiga pelajar dari Negara Brunei Darussalam (NBD) telah berjaya menerima anugerah dalam Program The 11th ASEAN Plus Three Junior Science Odyssey (APTJSO-11) yang berlangsung pada 5 hingga 11 Julai 2026 bertempat di The QuestPlus Hotel, Clark Freeport Zone, Pampanga, Republik Filipina.

Program berkenaan dianjurkan oleh The Department of Science and Technology – Philippine Science High School System (DOST-PSHSS), Republik Filipina, dengan kerjasama ASEAN+3 Center for the Gifted in Science (ACGS) dan disokong oleh ASEAN Secretariat.

Berteraskan tema 'Climate Action and Responsible e-nnovation for Sustainability (ASEAN+3 CAReS)', program tersebut memerlukan para peserta dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada pelajar dari pelbagai negara ASEAN+3 bagi menyelesaikan tugasan dan cabaran secara kolaboratif.

Melalui kerjasama berpasukan tersebut, Awang Muhammad Musyrif Safwan@Omar Abdul Aziz bin Mohammad Mahyuddin, pelajar Tahun 9 di bawah Skim Biasiswa Menengah ke International School Brunei (ISB) telah berjaya meraih Anugerah Perak (Silver Award) dan Anugerah Best in Wings of Change Challenge.

Turut melakar kejayaan ialah Dayang Iman Zahra binti Haji Ady Syarmin, juga pelajar Tahun 9 di bawah Skim Biasiswa Menengah ke ISB yang memenangi Anugerah Perak (Silver Award) dan Strongest Advocacy for Climate Action.

Manakala Dayang Nurul Lily Jasmine binti Mohamad Noh, pelajar Tahun 9 di bawah Skim Biasiswa Menengah ke Jerudong International School (JIS) turut berjaya merangkul Anugerah Gangsa (Bronze Award).

Selain kejayaan berkumpulan, Awang Muhammad Musyrif Safwan@Omar Abdul Aziz dan Dayang Iman Zahra juga memenangi Early Bird Award bagi Kategori Individu.

Program tahunan ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menyertai pelbagai aktiviti akademik dan interaktif, termasuk sesi panel bersama saintis, penilaian makmal (lab assessment), kajian lapangan (field study), menghadiri kuliah berkaitan tema program serta sesi pitching berkumpulan silang negara. Selain aktiviti sains, para peserta juga berpeluang bertukar-tukar kebudayaan melalui Festival Makanan (Food Festival).

Sebagai persediaan sebelum bertolak, para pelajar telah menjalani aktiviti Pra-Odyssey yang dibimbing oleh Dayang Hajah Noor Linda binti Haji Nasir dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, yang juga bertindak selaku Guru Pengawas bagi delegasi negara.

Secara keseluruhan, Program APTJSO ini bertujuan untuk membangunkan pemikiran saintifik melalui pembelajaran secara praktikal, menggalakkan kerjasama merentas budaya serta mendedahkan pelajar berumur 13 hingga 15 tahun dari rantau ASEAN+3 kepada cabaran saintifik dunia sebenar demi menyuntik inspirasi bagi menceburi kerjaya dalam bidang sains, penyelidikan dan inovasi pada masa hadapan.

Penyertaan delegasi negara ke program berkenaan telah diselaraskan oleh Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.