Siaran Akhbar : Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. - Tujuh pelajar dari institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah dianugerahkan Biasiswa Canada-ASEAN Scholarships and Educational Exchanges for Development - Phase 2 (SEED-2) bagi sesi akademik 2026-2027.
Penerima biasiswa tersebut ialah Dayang Nur Fa’izah Haji Ibrahim, Natalie Jia Xin Goh, Lee Huan Zhi, Awang Muhammad Bazli Taib Mahmud, Pengiran Nur Ameerah Barizah binti Pengiran Amir Faisal dan Awang Muhammad Nadzre Adzremeen Amir dari Universiti Teknologi Brunei (UTB), serta Dayang Nur Ifwah binti Ariffin dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Kesemua penerima dijadualkan berlepas ke Kanada mulai September ini bagi mengikuti program pertukaran akademik di Lakehead University, University of Alberta, Memorial University of Newfoundland dan Kwantlen Polytechnic University.
Sepanjang program berkenaan, mereka akan mengikuti pengajian dan penyelidikan dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, kejuruteraan mekanikal, matematik gunaan dan ekonomi, sekali gus menyumbang kepada pertukaran ilmu serta memperkukuh kerjasama akademik antara Kanada dan NBD.
Dengan kumpulan penerima terbaharu ini, seramai 36 pelajar dari institusi pengajian tinggi di Brunei telah mendapat manfaat daripada program tersebut sejak negara menyertai inisiatif itu pada tahun 2022.
Pendidikan terus menjadi antara tonggak utama dalam hubungan yang semakin kukuh antara Kanada dan NBD melalui kerjasama akademik yang berterusan serta hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke NBD, Tuan Yang Terutama Dr. Tamer Mansy berkata, Program Biasiswa Canada-ASEAN SEED merupakan antara inisiatif paling bermakna dalam memperkukuh hubungan jangka panjang antara Kanada dan Brunei.
Menurutnya, tujuh pelajar cemerlang berkenaan akan memperoleh pengalaman akademik serta pendedahan antarabangsa yang bernilai, di samping membina hubungan yang berkekalan antara kedua-dua negara.
Sementara itu, calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kewangan di UBD, Dayang Nur Ifwah binti Ariffin, melahirkan rasa syukur atas pemilihannya sebagai penerima biasiswa tersebut.
Beliau berkata peluang itu akan membolehkannya menimba ilmu daripada ahli akademik bertaraf dunia, mengenali budaya Kanada serta meluaskan perspektif terhadap cabaran global.
Dalam pada itu, penyelidik dari School of Applied Sciences and Mathematics, UTB, Awang Muhammad Nadzre Adzremeen Amir menyifatkan penerimaan biasiswa SEED-2 sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan akademiknya.
Beliau menjelaskan bahawa penyelidikannya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi bagi memperkukuh jaminan keselamatan makanan Brunei dan berharap dapat bekerjasama dengan penyelidik bertaraf dunia di University of Alberta bagi memajukan lagi penyelidikan tersebut serta mengukuhkan kerjasama akademik antara Kanada dan Brunei.
Program Canada-ASEAN SEED-2 dibiayai oleh Kerajaan Kanada menerusi Global Affairs Canada sebagai sebahagian daripada Strategi Indo-Pasifik Kanada.
Program itu menyediakan peluang kepada pelajar dari negara anggota ASEAN, negara Kepulauan Pasifik dan Mongolia untuk mengikuti pengajian atau penyelidikan jangka pendek di institusi pendidikan tinggi Kanada.
Melalui kerjasama akademik dan mobiliti pelajar, SEED-2 turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di samping memperkukuh perkongsian pendidikan dan hubungan rakyat antara Kanada dengan negara-negara anggota ASEAN.