Indeks Sentimen Perniagaan Ogos 2026 diterbitkan

21 Okt 2026 - 5:11am

Siaran Akhbar dan Infografik : Brunei Darussalam Central BankBANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Oktober. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan ataupun Business Sentiment Index (BSI) Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Ogos 2026.

Indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik bulanan yang melibatkan kira-kira 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi di seluruh negara.

BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen / keyakinan perniagaan di NBD yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan.

Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks ini boleh digunakan sebagai salah satu penunjuk awal keadaan makroekonomi negara. Sejak pelancarannya pada Ogos 2020, BDCB telah menyemak metodologi BSI bagi meningkatkan keteguhan, konsistensi dan nilai analisis indeks.Walaupun skala BSI adalah 0.0 hingga 100.0 di bawah metodologi sebelumnya, formula pengiraan yang digunakan hanya menghasilkan nilai indeks antara 49.0 dan 51.0.

Di samping itu, daripada menetapkan tahap 50.0 sebagai neutral, nilai antara 45.0 hingga 55.0 kini ditakrifkan sebagai neutral. Perubahan ini seterusnya meningkatkan sensitiviti indeks, sekali gus membolehkan tafsiran yang lebih jelas dan tepat terhadap pergerakan indeks.Pengemaskinian ini tidak menjejaskan penilaian ekonomi bagi hasil terdahulu, memandangkan sentimen asas yang diukur oleh indeks tersebut kekal tidak berubah.Bagi memastikan konsistensi dan kebolehbandingan, data BSI terdahulu telah dikira semula menggunakan metodologi baharu dan diterbitkan dalam Buletin Statistik yang terdapat di laman sesawang BDCB.

Nilai BSI atas 55 ialah keadaan yang lebih baik / sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya. Manakala Nilai BSI 45 - 55 ialah keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya.Sementara itu, Nilai BSI bawah 45 ialah keadaan yang merosot / sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya. Indeks utama BSI, iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan, berada pada tahap 78.1 pada Ogos 2026. Ini menunjukkan bahawa perniagaan secara amnya lebih optimistik terhadap keadaan perniagaan berbanding Julai 2026.Sentimen positif ini didorong oleh penambahbaikan dalam sektor tertentu dan faktor bermusim, dikaitkan dengan peningkatan pengeluaran dalam sektor tenaga, projek baharu di sektor pembinaan dan perkhidmatan, aktiviti promosi, perbelanjaan semasa musim cuti persekolahan, serta permintaan yang berkaitan dengan pelbagai acara.

Sub indeks bagi tempoh satu bulan akan datang adalah pada tahap 56.5, yang menunjukkan bahawa perniagaan menjangka peningkatan sederhana pada September 2026. Prospek positif ini disokong oleh jangkaan peningkatan jualan, projek baharu, aktiviti promosi yang berterusan, serta pemulihan aktiviti perniagaan selepas berakhirnya musim cuti persekolahan.

Walau bagaimanapun, sesetengah perniagaan kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan terhadap tawaran projek, permintaan pelanggan, persaingan, dan cabaran operasi.Sub-indeks Pelaburan terus menunjukkan sentimen yang optimistik, dengan indeks bulan semasa pada tahap 81.0, indeks satu bulan ke hadapan pada tahap 79.8, dan indeks tiga bulan ke hadapan pada tahap 81.1.

 

Dalam beberapa bulan akan datang, pelaburan dijangka tertumpu kepada pembelian mesin, peralatan, dan kenderaan, pengisian semula inventori, pembiayaan projek pembinaan dan kerja-kerja pengubahsuaian, serta penaiktarafan sistem teknologi maklumat dan infrastruktur berkaitan pembuatan.

Beberapa perniagaan juga sedang melaksanakan inisiatif pembangunan dan pengembangan jangka panjang, termasuk pembinaan kemudahan perindustrian dan kemudahan pemprosesan makanan laut.Sub-indeks Pekerjaan mencatatkan tahap 46.6 bagi bulan semasa, manakala indeks satu bulan ke hadapan mencatatkan 47.1, menunjukkan bahawa keadaan pekerjaan secara amnya dijangka stabil. Merentasi pelbagai sektor, perniagaan mengongsikan aktiviti perniagaan yang stabil, tekanan kos input yang tinggi, dan tenaga kerja sebagai faktor-faktor yang menyokong keputusan untuk mengekalkan jumlah tenaga kerja.Walau bagaimanapun, terdapat juga aktiviti pengambilan pekerja, khususnya dalam kalangan perniagaan yang melaksanakan projek baharu, pengembangan perniagaan atau inisiatif peningkatan kapasiti.Namun demikian, sebahagian besar pengambilan pekerja yang dilaporkan adalah untuk menggantikan pekerja yang telah berhenti atau bersara, dan bukan untuk meningkatkan kapasiti tenaga kerja secara keseluruhan. Ini sekali gus, menyumbang kepada prospek pekerjaan yang stabil.Sub-indeks Kos Perniagaan adalah 61.0 bagi bulan semasa dan 49.9 bagi September 2026. Perniagaan menjangka kos operasi akan meningkat pada Ogos 2026, terutamanya disebabkan oleh peningkatan aktiviti projek, jualan yang lebih tinggi, penambahan bahan, dan peningkatan perbelanjaan berkaitan tenaga kerja.Sesetengah perniagaan turut mengongsikan akan berdepan dengan peningkatan Kos input, termasuk bahan mentah, utiliti, logistik dan perbelanjaan operasi lain. Bagi September 2026, kos operasi dijangka kekal stabil. Beberapa perniagaan menyatakan bahawa perbelanjaan yang lebih tinggi bagi pembelian bahan dan persediaan projek akan dibuat pada bulan Ogos, justeru mengurangkan keperluan untuk perbelanjaan tambahan pada bulan berikutnya. Oleh itu, keadaan dijangka tidak berubah pada September walaupun aktiviti perniagaan terus berjalan.Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman sesawang BDCB di ‘www.bdcb.gov.bn’. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB ‘@centralbank.brunei’.