Keadaan cuaca diramal panas, kering sehingga hujung bulan

23 Og 2026 - 7:44am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, yang lazimnya akan berterusan sehingga hujung September 2026.

Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di Negara Brunei Darussalam lazimnya lebih stabil, menyebabkan cuaca yang agak panas dan kering serta hujan dan hujan petir kurang berlaku.

Sejak 6 Ogos yang lalu, tiada turunan hujan yang signifikan direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

Setakat ini, jumlah turunan hujan yang direkodkan bagi Ogos 2026 adalah sebanyak 117.8mm, iaitu sekitar 51 peratus lebih rendah berbanding jumlah purata normal bagi Ogos, iaitu 231.5mm.

Negara Brunei Darussalam telah mengalami keadaan cuaca panas melampau sebanyak 14 hari pada bulan ini iaitu pada 8 hingga 21 Ogos 2026. Bagi bulan ini, beberapa Stesen Pencerapan Cuaca Automatik, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam telah merekodkan suhu maksimum harian tertinggi sekurang-kurangnya 35.0 darjah Celsius di beberapa tempat.

Pada Jumaat, 21 Ogos 2026, terdapat 1 kawasan telah merekodkan keadaan cuaca panas melampau iaitu Anggerek Desa; manakala terdapat 10 kawasan lain yang telah merekodkan suhu cuaca panas luar biasa iaitu LTAB, Bandar Seri Begawan, Benutan, Kuala Belait, Labi, Lakiun, Lumapas, Pekan Bangar, Pekan Tutong dan Sinaut.

Keadaan cuaca diramalkan panas dan kering dengan aktiviti turunan hujan yang minimum sehingga hujung bulan ini dengan sedikit berjerebu disebabkan oleh jerebu rentas sempadan. Manakala, suhu maksimum harian dijangkakan berada dalam lingkungan 33 darjah Celsius hingga 36 darjah Celsius.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian dan seterusnya mengambil langkah-langkah berpatutan berikutan keadaan cuaca panas dan kering. Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114. Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.met.gov.bn serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather’), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather’).